Skuad Sayang 3K Teruskan Usaha Murni Bantu Mangsa Banjir
JERAI, 15 Dis – Skuad Sayang 3K meneruskan usaha murni menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir yang terkesan di seluruh negara.
Menerusi satu kenyataan, kali ini Ketua Wanita UMNO Malaysia Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, menyampaikan sumbangan kepada 10 bahagian di Kedah yang terjejas akibat bencana banjir.
“Sumbangan berupa toto, bantal, dan wang tunai telah diserahkan kepada Ketua-Ketua Wanita Bahagian, yang diketuai oleh Datuk Hajah Norma Awang, Ketua Wanita UMNO Negeri Kedah.
“Majlis penyerahan sumbangan ini turut dihadiri oleh Datuk Seri Jamil Khir Baharom Ketua UMNO Bahagian Jerai, Datuk Rosni Sohar, Setiausaha Wanita UMNO Malaysia, dan Puan Hisham Suhaily, Komandan Skuad Sayang 3K Kebangsaan,” katanya.
Menerusi kenyataan itu lagi, Skuad Sayang 3K berpegang teguh kepada misi membantu komuniti yang memerlukan, terutamanya dalam menghadapi cabaran akibat bencana alam.
“Usaha ini adalah bukti komitmen Wanita UMNO dalam menyokong rakyat yang terkesan serta meringankan beban mereka.
“Wanita UMNO Malaysia dan Skuad Sayang 3K juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penyumbang yang telah memberikan sokongan dalam menjayakan misi bantuan ini. Sumbangan anda amat bermakna dan memberi harapan baharu kepada mangsa banjir,” ujarnya.- UMNO Online