Kolej Ketengah Mampu Capai Kecemerlangan Pendidikan, Lahirkan Modal Insan – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 14 Dis – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi percaya pelbagai program dan kerangka yang jelas telah dirangka Kolej Ketengah dalam usaha memastikan kecemerlangan akademik pelajar.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah seterusnya menambah usaha berkenaan seiring dengan pelbagai cabaran khususnya dalam pembangunan teknologi.
“Dalam menghadapi cabaran global dan kemajuan teknologi, saya percaya Kolej Ketengah telah merangka hala tuju yang jelas untuk mencapai kecemerlangan pendidikan serta pembangunan modal insan negara.
“Saya juga menghargai usaha Kolej Ketengah yang menawarkan Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) serta Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET), yang bukan sahaja membuka peluang kerjaya, tetapi juga menjadi pemangkin kepada pembangunan negara.
“Program ini berperanan besar dalam merealisasikan hasrat negara untuk mencapai status berpendapatan tinggi,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Pagi tadi beliau menghadiri Majlis Konvokesyen Kolej Ketengah ke-4 yang berlangsung di World Trade Centre Kuala Lumpur. Seramai 224 pelajar menerima sijil masing-masing.
Ahmad Zahid seterusnya berharap Kolej Ketengah dapat mengekalkan mutu pengajaran dan pembelajaran yang tinggi, malah terus meningkat seiring dengan keperluan semasa.
“Pada masa yang sama, saya menyeru agar kurikulum yang digunakan sentiasa disemak dan diperbaiki agar selari dengan kehendak industri dan ekonomi. Insya-Allah.
“Tahniah dan syabas kepada Kolej Ketengah serta para pendidik atas kejayaan melahirkan 1,557 graduan sejak tahun 2015. Anda semua memainkan peranan penting dalam melahirkan generasi berilmu,” ujarnya.- UMNO Online