Konsistensi Dasar Dan Kebolehsuaian Malaysia Tarik Pelabur Laksana Komitmen Jangka Panjang
KUALA LUMPUR, 12 Dis – Konsistensi dasar dan kebolehsuaian Malaysia telah menggalakkan pelabur melaksanakan komitmen jangka panjang dan melengkapkan negara dengan kapasiti untuk mengharungi cabaran global dengan berkesan, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata, prestasi membanggakan Malaysia dalam memperoleh RM254.7 bilion dalam pelaburan diluluskan dalam tempoh sembilan bulan pertama 2024 adalah bukti keyakinan pelabur terhadap dasar dan hala tuju ekonomi negara.
“Pertumbuhan 10.7 peratus tahun ke tahun ini dan penciptaan lebih 159,000 peluang pekerjaan adalah hasil positif daripada rangka kerja strategik Malaysia dan usaha bersepadu kita untuk menarik pelaburan berimpak tinggi untuk pertumbuhan yang mampan,” katanya menerusi hantaran di platform X hari ini.
Tengku Zafrul berkata, negara semakin maju ke arah menjadi salah satu daripada 30 ekonomi global teratas menjelang 2033, kerajaan Madani berpegang teguh dalam komitmennya untuk memupuk persekitaran untukk pelabur domestik dan antarabangsa berkembang maju.
“Tumpuan kami melangkaui pencapaian sasaran pelaburan…kami sedang meletakkan asas untuk ekonomi mampan dan inklusif yang akan memperkasakan semua rakyat Malaysia,” katanya. – BERNAMA