Pasca-Banjir: Puteri UMNO Gerakkan Misi Sukarelawan Ke Lima Negeri
KUALA LUMPUR, 12 Dis – Misi sukarelawan Puteri UMNO Malaysia turun padang memperkukuh khidmat bakti kepada masyarakat dengan melaksanakan bantuan melibatkan lima negeri terjejas banjir.
Exco Puteri UMNO Malaysia merangkap Pengerusi Biro Kebajikannya, Dayang Nurazlin Nordin, memaklumkan bahawa misi tersebut diketuai oleh Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi yang sentiasa menyatakan komitmen penuh untuk membantu dan memastikan keperluan asas mangsa banjir dapat dipenuhi sebaik mungkin.
Sebelum ini, katanya, pasukan sukarelawan tersebut telah menyalurkan bantuan di negeri-negeri terlibat iaitu Kedah, Perak, dan Negeri Sembilan lantas gelombang kedua misi ini diteruskan dengan menyokong negeri yang paling teruk terjejas akibat bencana tersebut.
“Kami komited untuk terus turun padang dan membantu negeri-negeri yang terjejas, tidak kira di mana sahaja. Misi ini bukan sahaja membawa bantuan fizikal, tetapi juga sokongan moral dan semangat kebersamaan yang penting ketika menghadapi bencana,” ujar Dayang Nurazlin kepada UMNO Online.
Jelasnya, misi pada minggu pertama gelombang kedua telah dijalankan pada 10 hingga 12 Disember di Kelantan, khususnya di Rantau Panjang.
“Seramai 100 sukarelawan menyertai misi ini, dengan 50 sukarelawan dari Puteri UMNO Selangor dan Wilayah serta 50 sukarelawan dari Kelantan.”
Jelasnya, bantuan melibatkan sumbangan kepada 120 mangsa banjir merangkumi barangan asas, selimut, tuala, kit kebersihan diri, tuala wanita, pakaian, serta karpet untuk kegunaan surau.
“Inisiatif ini diharapkan dapat meringankan beban mangsa yang terkesan akibat bencana. Misi ini mencerminkan usaha berterusan Puteri UMNO dalam memperkukuhkan agenda kebajikan dan menunjukkan solidariti kepada mangsa-mangsa bencana di seluruh negara.
“Dengan kerjasama sukarelawan dari pelbagai negeri, Puteri UMNO berharap usaha ini dapat meringankan kesengsaraan dan membawa harapan baharu kepada komuniti yang terjejas,” katanya lagi. – UMNO Online