PBRS Lihat Model BN Terbaik, Kekal Setia Mengorak Langkah Bersama – Freddie Sua

KUALA LUMPUR, 10 Dis – Ketua Penerangan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Freddie Sua melihat hubungan yang sedia ada di dalam Barisan Nasional (BN) terus diperkukuhkan untuk melakar kejayaan pada masa depan.

Bagi beliau Majlis Sambutan Jubli Emas Ke-50 parti itu Sabtu lalu bukan sahaja merapatkan lagi hubungan sedia ada malah terus memperkukuhkan lagi gerakan dalam usaha memastikan parti berkenaan terus mengorak langkah ke depan mengharungi cabaran.

Kata beliau lagi parti itu kekal setia bersama BN dan percaya formula parti berkenaan amat baik dalam sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai latar belakang agama dan juga bangsa.

“Kita yakin dan percaya struktur ini sebagai gabungan nasional adalah yang terbaik untuk negara kita yang berbilang kaum, bangsa, dan agama. Banyak sumbangan kepada pembangunan negara termasuk di Sabah yang tidak dapat dinafikan.

“Apa pun kita tidak boleh ambil mudah dengan segala kejayaan lalu sebaliknya sama-sama membina semula kepercayaan masyarakat dan seluruh rakyat kepada perjuangan BN demi negara untuk manfaat bersama,” ujarnya kepada UMNO Online.

Jelasnya lagi, pada Sabtu lalu, Presiden PBRS, Datuk Arthur J. Kurup bersama Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Pusat menghadiri Majlis Sambutan Jubli Emas ke-50 tahun BN di WTC, Kuala Lumpur.

“Sebelum itu, rombongan PBRS mengadakan kunjungan hormat kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi BN merangkap Timbalan Perdana Menteri, di bilik mesyuarat Dewan Tertinggi BN, Menara Dato’ Onn.

“Dalam pertemuan itu, Datuk Arthur memperkenalkan AMT PBRS yang baharu dan menegaskan komitmen PBRS untuk terus memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Datuk Zahid dan BN. Datuk Zahid menghargai jasa PBRS selama ini dan berjanji untuk terus menyokong pertumbuhan serta perjuangan PBRS bersama BN,” katanya lagi. – UMNO Online.

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.