Kerajaan Negeri Sembilan Fokus Pertanian, Keterjaminan Makanan Dan Kos Sara Hidup Pada 2025
SEREMBAN, 9 Dis – Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias memaklumkan hari ini beliau telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup yang terakhir bagi tahun 2024 di Majlis Bandaraya Seremban, di sini.
Jalaluddin bersyukur sepanjang tahun ini, kerajaan negeri telah sukses menganjurkan beberapa program yang menyusur kehendak rakyat seperti FAMA FEST (23–26 Mei), NS FEST (28 Julai-3 Ogos), MAHA (11–22 September) dan Program Agrofest di daerah-daerah seluruh Negeri Sembilan dan mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang telah bertungkus lumus menjayakannya.
“Untuk tahun 2025, harapan saya amat tinggi supaya semua program berasaskan portfolio pertanian ini dapat dirancang dengan lebih baik, menyeluruh dan memberi manfaat yang lebih berganda kepada rakyat dengan semaksima mungkin,” kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan itu dalam satu kenyataan di laman Facebook dan akaun X.
Jelasnya, kerajaan pusat dan kerajaan negeri telah selesai membentang dan meluluskan Belanjawan 2025 di mana untuk Belanjawan Pusat 2025, dengan nilai RM421 bilion yang merangkumi RM335 bilion perbelanjaan mengurus dan RM86 bilion untuk perbelanjaan Pembangunan.
Manakala katanya bagi Belanjawan Negeri Sembilan 2025 yang bernilai RM590 juta, yang mana RM135 juta adalah untuk Anggaran Belanja Pembangunan.
Begitu juga tambahnya, Belanjawan tahun 2025 ini juga satu pencapaian yang cemerlang kerana setelah sekian lama berjaya mencapai Belanjawan Berimbang dan bukan lagi defisit.
“Justeru, saya ingin membawa fokus semua jabatan untuk memanfaatkan segala inisiatif dan peruntukan yang telah diumumkan oleh kerajaan pusat dan kerajaan negeri.
“Kerap kali saya sebutkan bahawa, hala tuju kita cukup jelas, yakni mahu rakyat Negeri Sembilan menerima manfaat semaksima yang mungkin daripada peruntukan yang diberikan oleh kerajaan negeri dan juga kerajaan pusat. Wang yang kita belanjakan itu haruslah sampai ke rakyat dengan sehabis baik.
“Kadangkala rakyat di luar sana tidak tahu berkenaan jenis bantuan dan peruntukan yang kita sediakan, jadi jabatan harus bertindak untuk bantu mereka dapatkan bantuan yang layak untuk mereka,” kata Ahli Parlimen Jelebu itu.
Seterusnya, Jalaluddin mengambil kesempatan merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun atas kelulusan peruntukan sebanyak RM3 juta untuk pembinaan Pavilion Negeri Sembilan di MAHA.
Dalam perkembangan yang sama, Jalaluddin telah meminta Jabatan Pertanian Negeri Sembilan untuk menubuhkan satu Pasukan Bantuan Banjir Pertanian di negeri ini sebagai satu langkah drastik daripada jawatankuasa bertindak ini untuk membantu petani, penternak dan nelayan yang terjejas banjir di negeri ini, yang akan diselaraskan oleh Pengarah Pertanian Negeri Sembilan.
“Saya juga telah mohon pegawai-pegawai Jabatan Pertanian, Jabatan Veterinar, Jabatan Perikanan yang ada di lapangan untuk buat semakan segera jumlah pengusaha yang terkesan dengan banjir, jumlah kerugian yang ditanggung dan apa bentuk bantuan yang boleh disalurkan kepada mereka.
“Pihak jabatan perlu memanfaatkan segala bentuk bantuan yang ada untuk membantu mangsa-mangsa yang terkesan ini. Kurangkan karenah birokrasi, dan permudahkan segala urusan mereka. Saya mahu jabatan di bawah portfolio saya mesra dengan rakyat dan dikenali dengan sebab servis dan perkhidmatan yang baik,” katanya.
Mengulas lanjut, Jalaluddin berkata tahun 2025 yang menjelang tiba merupakan tahun ketiga penggal kerajaan kali ini.
“Sebab itu program-program yang dilaksanakan perlu lebih banyak menjurus kepada program ‘touchpoint’ kepada rakyat. Saya mahu semua jabatan merangka cadangan takwim program bagi tahun 2025 dan hantarkan ke pejabat saya sebelum hujung tahun ini untuk saya buat penyelarasan dengan jadual saya.
“Insya-Allah di tahun 2025, Negeri Sembilan akan meriah dengan pelbagai program dan inisiatif kepada rakyat yang berkaitan pertanian dan keterjaminan makanan,” katanya. – UMNO ONLINE