Prinsip Perjuangan UMNO Sabah Teguh, Tolak Politik Murahan

KUALA LUMPUR, 14 Dis – Bekas Ketua Pemuda UMNO Negeri Sabah, Datuk Ir. Abdul Aziz Julkarnain menolak keras pandangan yang menyatakan UMNO Sabah bakal hadapi risiko kekalahan lebih besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang sekiranya terus bersikap dingin terhadap sekutunya.

Abdul Aziz yang juga Timbalan Pengerusi Sekretariat NGO dan Profesional UMNO Sabah menegaskan bahawa UMNO negeri itu tidak akan menggadaikan prinsip perjuangan demi kemenangan politik yang mudah.

“UMNO Sabah tidak akan menggadaikan prinsip demi kemenangan mudah… seperti menjual maruah perjuangan. UMNO Sabah kekal konsisten dengan prinsip daripada rakyat untuk rakyat dan demi rakyat.

“UMNO Sabah kekal kukuh di bawah Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, walaupun melalui cabaran besar selepas 2018. Politik sebenar ialah keberanian memperjuangkan keadilan, bukan semata-mata kuasa. UMNO Sabah tetap teguh menjadi penyambung suara rakyat,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz menggesa Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor untuk segera meletakkan jawatan berikutan skandal rasuah yang didakwa melibatkan pemimpin tertinggi kerajaan negeri.

“Desakan agar Ketua Menteri meletakkan jawatan selaras dengan amalan kepimpinan dunia. Pemimpin yang terpalit dengan skandal mesti berundur untuk membolehkan siasatan telus dijalankan tanpa sebarang halangan dengan prinsip ‘no fear, no favor’.

“Sabah kini berdepan kemiskinan, pengangguran tertinggi dan skandal rasuah yang memalukan melibatkan pemimpin kerajaan negeri. UMNO Sabah menolak politik bisu demi kuasa,” katanya lagi.

Tambah Abdul Aziz, sewajarnya Pakatan Harapan (PH) harus konsisten menentang skandal salah guna kuasa dan jangan berdiam diri.

“PH Sabah juga harus bersama UMNO Sabah menentang skandal ini. Sikap berdiam diri hanya akan mengaitkan mereka dengan skandal tersebut.

“Mereka perlu konsisten dengan idealisme menentang salah guna kuasa, sebagaimana mereka lakukan terhadap pemimpin UMNO/BN dahulu,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit