Keunikan BN Terletak Pada Hubungan Erat Antara Parti – Rosnah

KUALA LUMPUR, 13 Dis – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin menegaskan hubungan parti-parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) seperti UMNO, MCA, MIC dan PBRS masih kukuh meskipun menghadapi pelbagai cabaran yang melanda gabungan tersebut.

Menurut beliau, keunikan BN terletak pada sejarah penubuhannya yang menjadi asas kepada hubungan erat antara parti-parti komponennya.

“Uniknya BN kerana bermula dengan sejarah dan sekarang ini tidak menjadikan sejarah itu sebagai satu keutamaan untuk bergerak ke hadapan tapi sejarah itu cukup penting untuk melihat hubungan yang erat dan wujud di semua parti-parti komponen yang ada di dalam BN.

“Semangat yang ditunjukkan komponen BN sungguh luar biasa dan bukan sahaja presiden-presiden parti malah sokongan dari parti masing-masing. Ini sudah tentu berikan semangat dan terutamanya kami di Sabah ini momentum menuju Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

“Penyelesaian yang diambil oleh pemimpin-pemimpin dalam komponen BN adalah memberikan keutamaan kepada rakyat yang diwakili. Itu merupakan kunci kejayaan hingga usia BN 50 tahun dan masih bertahan sebagai satu kumpulan di antara parti-parti komponen,” katanya ketika ditemui UMNO Online, di sini.

Mengulas lanjut, Rosnah yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Papar harap parti UMNO kembali kuat serta menerajui kerajaan serta merencana dan melaksana dasar-dasar negara.

“UMNO kembali kuat menerajui kepimpinan kerana sejarah membuktikan tidak ada gabungan parti yang berjaya dalam melaksanakan dasar-dasar dan membangunkan ekonomi negara sehebat BN.

“Ini adalah kesinambungan sejak 50 tahun lepas dan harap ada kesinambungan yang baik yang akan berlaku pada 50 tahun akan datang, insya-Allah,” jelasnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa masa depan negara bukanlah bergantung pada generasi sekarang semata-mata, tetapi lebih penting adalah untuk generasi yang akan datang.

“Zaman yang akan datang bukannya zaman kita, ia zaman anak-anak kita dan mahu melihat masa depan yang lebih baik yang akan berlaku pada anak-anak kita,” ujarnya.

Sabtu lalu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah merasmikan sambutan ulang tahun BN ke-50 yang telah berlangsung dengan lancar dan berjaya menyemai semangat perjuangan jitu untuk terus membela nasib rakyat.

Sambutan diadakan di Dewan Tun Razak 4 dan Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini, meriah dengan pelbagai program yang diatur melibatkan para pemimpin dan penyokong termasuklah dari generasi muda.- UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit