Titah Adendum: UMNO Selayang Sokong Penuh Najib Razak Dapat Hak Penahanan Rumah

KUALA LUMPUR, 9 Dis – UMNO Bahagian Selayang menyatakan pendirian untuk menyokong penuh usaha untuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendapat hak penahanan rumah.

Ketuanya, Datuk Hasnal Rezua Merican berkata ia rentetan daripada afidavit terbaru yang difailkan di mahkamah seperti dimaklumkan anak Najib, Datuk Mohamad Nizar.

“Di dalam afidavit terbaharu yang difalkan oleh Nizar menzahirkan dua perkara yang sangat penting untuk diberi pertimbangan. Pertama, Nizar mengatakan bahawa beliau telah diberitahu mengenai kewujudan titah adendum.

“Kemudian beliau telah ditunjukkan dengan satu salinan titah adendum ini dan akhirnya beliau telah dibekalkan dengan salinan titah adendum oleh wakil Istana Pahang. Kedua yang dizahirkan dalam afidavit tersebut adalah bahawa Nizar menunggu isyarat untuk sama ada titah adendum tersebut boleh digunakan bagi tujuan afidavit di mahkamah.

“Dan akhirnya pada 2 Disember 2024, beliau mendapat isyarat bahawa Tuanku Sultan Pahang memperkenankan titah adendum digunakan bagi maksud tersebut,” katanya menerusi kenyataan sidang media yang dilakukan.

Hasnal yang juga pengamal undang-undang berkata dua perkara tersebut sudah cukup untuk menyangkal keputusan mahkamah tinggi sebelum ini, ketika permohonan Najib untuk semakan kehakiman di mana mahkamah mengatakan bahawa tiada terdapat sebarang bukti kewujudan titah adendum.

Menurut beliau lagi dengan afidavit terbaharu yang difailkan oleh Nizar ini, ia menunjukkan bahawa titah ini wujud.

Malah katanya lagi, membuktikan titah ini sebenarnya wujud ialah ketiadaan sangkalan yang dibuat oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ataupun mana-mana wakil daripada Istana Pahang.

“Dalam ketiadaan sangkalan ini, maka keterangan yang diberikan melalui afidavit oleh Nizar ini mestilah dianggap sebagai satu kebenaran kerana hanya ada dua pihak dalam insiden ini iaitu Nizar dan Istana Pahang.

“Kalau tidak ada sangkalan daripada Istana Pahang, maka mahkamah boleh mengambil notis kehakiman tentang kewujudan titah adendum,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit