BN Kedah Sokong Usaha Untuk Kembali ‘Menjenamakan’ Parti
ALOR SETAR, 8 Dis – Barisan Nasional (BN) Negeri Kedah menyambut baik usaha dan amanat Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang telah menggariskan “road map” baharu bersama pakej “penjenamaan” bagi parti itu.
Ketua Penerangan UMNO Kedah yang juga Jurucakap Khas BN Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, pendekatan tersebut dianggap sebagai jalan terbaik pada masa ini untuk memulihkan imej dan memastikan parti terus diterima rakyat.
Katanya, garis panduan dan amanat yang diberikan oleh Dr. Ahmad Zahid berupaya memberikan panduan yang jelas dan jalan keluar dalam merungkaikan kekusutan yang dihadapi oleh BN.
“Kami percaya bahawa langkah ini mampu memadamkan kekeliruan serta memberi arahan yang tepat dalam menghadapi cabaran politik yang mendatang,” ujar beliau dalam satu kenyataan media hari ini.
Selain itu, katany BN Negeri Kedah menggesa semua parti komponen dalam BN untuk mengenepikan ‘ego politik’ dan membuat pengorbanan yang perlu bagi memastikan kestabilan dan penerimaan parti di kalangan rakyat.
“Kita perlu bekerjasama dan mengutamakan kepentingan parti demi kejayaan bersama,” tambahnya.
Beliau juga menekankan pentingnya semua parti komponen untuk secara ikhlas memahami dan menghayati hala tuju baharu BN.
“Kami menyeru agar semua pihak berhenti menimbulkan persoalan remeh yang hanya akan merosakkan parti,” tegasnya.
Sebagai langkah penting, ujarnya, BN Negeri Kedah turut percaya parti akan kembali mendapat kepercayaan rakyat.
“BN Negeri Kedah juga yakin, sambutan Jubli Emas BN semalam mampu menjadi titik tolak untuk BN kembali mendapatkan kepercayaan rakyat setelah melalui beberapa saat hitam dipentas arus perdana politik negara,” katanya lagi. – UMNO Online