BN Komited Kebersamaan: MCA, MIC Dan PBRS Perkukuh Perpaduan

KUALA LUMPUR, 8 Dis – Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menegaskan bahawa meskipun parti itu tidak memegang jawatan dalam kerajaan atau mana-mana badan berkaitan kerajaan (GLC) ketika ini, namun MCA akan terus memainkan peranan aktif dalam Barisan Nasional (BN).

Beliau menyatakan komitmen penuh MCA untuk memastikan semangat kerjasama dan solidariti dalam BN terus kukuh serta menyeru semua komponen parti untuk saling menghormati.

“Kita dalam BN jangan dibuli, kita perlu saling hormat kepada mana-mana pihak dan lihat kepada pasukan kekuatan dalam BN. Kita tunjukkan solidariti dalam BN, bukan dalam parti MCA, MIC atau UMNO sahaja tetapi kita tetap bersama atas nama BN,” katanya ketika berucap dalam Sambutan Jubli Emas BN yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), semalam.

Wee turut menegaskan bahawa MCA akan terus berperanan sebagai mekanisme semak dan imbang dalam kerajaan serta BN. Menurut beliau, MCA sentiasa memikul tanggungjawab dan kekal setia dalam perjuangan bersama BN.

“Kita sama-sama sebagai satu keluarga dan membuat keputusan tak seperti orang lain. Saling mendukung. Saya nak mengulangi komitmen kita bahawa keutamaan kita adalah BN iaitu keluarga BN,” tambahnya lagi.

Beliau juga menegaskan bahawa BN adalah gabungan parti yang progresif, moderat, dan inklusif, serta bertekad untuk menghadapi apa jua cabaran secara bersama.

Sementara itu, Timbalan Presiden MIC, Datuk M. Saravanan dalam ucapannya juga mengakui bahawa kejayaan BN selama ini didorong oleh pelbagai faktor yang kukuh iaitu hasil daripada kewibawaan pemimpin BN, kestabilan politik yang berterusan, serta semangat perpaduan antara kaum di negara ini.

Menurutnya, beberapa faktor utama yang mendasari kejayaan BN termasuklah kepimpinan mantap para Pengerusi BN yang dilantik sebagai Perdana Menteri, selain kestabilan politik yang dijaga sepanjang pemerintahan BN turut membolehkan pembangunan negara dilaksanakan dengan lancar.

“Perpaduan dan silaturrahim antara kaum serta sikap toleransi yang ditunjukkan oleh orang Melayu dalam menerima semua kaum sebagai rakan kongsi pentadbiran adalah asas kejayaan kita,” ujar beliau.

Dalam ucapan tersebut, beliau turut menegaskan bahawa MIC, bersama parti komponen seperti UMNO dan MCA, sentiasa berperanan aktif dalam membela nasib rakyat Malaysia di bawah payung BN.

“UMNO, MCA dan MIC telah bersama-sama melalui pelbagai cabaran dan terus komited dalam perjuangan demi memastikan kesejahteraan semua lapisan masyarakat,” tambahnya.

Beliau juga menekankan pentingnya kerjasama dan perpaduan kaum dalam memastikan kestabilan dan kemajuan negara terus terjamin di masa hadapan.

Dalam hal yang sama, Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Joseph Kurup, menegaskan bahawa nilai-nilai perjuangan BN akan kekal relevan dalam usaha mendepani cabaran masa depan.

Beliau menekankan bahawa tiada siapa dapat menafikan sumbangan besar BN kepada pembangunan negara sejak penubuhannya malah mengingatkan rakyat bahawa semua parti politik telah merasai pengalaman menjadi kerajaan, dan kini boleh menilai prestasi serta keberkesanan setiap parti.

Joseph Kurup turut merujuk kepada situasi politik selepas Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu, apabila Parlimen berada dalam keadaan tergantung kerana tiada parti mendapat majoriti untuk membentuk kerajaan secara bersendirian.

“Kerajaan Perpaduan yang terbentuk selepas itu telah menyelamatkan negara daripada krisis politik. Hasilnya, kini BN berada dalam pentadbiran negara dan membentuk kepimpinan bersama demi kestabilan politik yang membolehkan tumpuan diberikan sepenuhnya kepada agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Mengulas mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang, beliau juga menyeru ahli-ahli BN agar yakin dan bersemangat untuk mengembalikan parti itu sebagai pemain utama dalam pentadbiran politik Sabah.

“Marilah kita bersatu dan pastikan BN kembali memimpin pentadbiran demi masa depan Sabah yang lebih gemilang,” ujarnya.

Beliau percaya bahawa rekod pencapaian BN yang konsisten akan terus menjadi asas kukuh untuk memenangi keyakinan rakyat Sabah dalam PRN kelak. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit