Sambutan Ulang Tahun BN Ke-50 Semai Semangat Perjuangan Terus Membela Rakyat

KUALA LUMPUR, 8 Dis – Sambutan ulang tahun Barisan Nasional (BN) ke-50 yang telah berlangsung semalam berjalan dengan lancar dan berjaya menyemai semangat perjuangan jitu untuk terus membela nasib rakyat.

Diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Dewan Tun Razak 4 dan Dewan Merdeka meriah dengan pelbagai program yang diatur, melibatkan para pemimpin dan penyokong termasuklah dari generasi muda.

Perhimpunan yang menggabungkan emapt parti utama komponen BN iaitu UMNO, MCA, MIC dan PBRS termasuk Friends of BN ini mendapat sambutan yang menggalakkan apabila mencatatkan kehadiran lebih daripada 5,000 hadirin.

Acara sambutan ini dimulakan dengan Ulang Tahun ke-50 Wanita BN di Dewan Tun Razak 4 pada jam 10.00 pagi dan diikuti dengan Program Era Baharu Anak Muda BN pada jam 11.30 pagi.

Prihatin akan bencana banjir yang berlaku pada ketika ini di beberapa buah negeri, BN turut mengambil inisiatif dengan pelancaran dan melepaskan sukarelawan skuad misi bantuan pada jam 12.20 tengahari.

Acara kemuncak Sambutan Ulang Tahun BN ke-50 dimulakan dengan upacara menaikkan bendera parti bermula jam 2.00 petang diikuti ucapan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan bacaan ikrar parti bergabung (FOBN) diketuai oleh Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan.

Sejurus selepas itu, Presiden parti-parti komponen BN telah menyampaikan ucapan dimulakan dengan Presiden PBRS, Datuk Arthur Joseph Kurup diikuti dengan Timbalan Presiden MIC,  Datuk Seri M Saravanan dan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Program diteruskan lagi dengan ucaptama oleh Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengingatkan para pemimpin, ahli dan penyokong untuk terus bekerja bagi memastikan BN mengungguli takhta pentadbiran negara pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Sambutan gilang-gemilang BN ini disudahi dengan penyerahan watikah penyelaras, pelancaran Piagam Setengah Abad BN yang akan dibacakan oleh Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan pelancaran Buku Coffee Table BN 50 Tahun oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Dengan adanya sambutan Ulang Tahun BN ke-50 ini, ia menjadi bukti bahawa parti ini masih lagi mempunyai semangat juang yang tinggi untuk terus membela nasib rakyat dan haluannya masih teguh meskipun telah memeterai kerjasama bagi membentuk Kerajaan Perpaduan.

Diharapkan para pemimpin, ahli dan penyokong yang hadir pada majlis ini dapat berjuang untuk memastikan BN sentiasa relevan bak kata pepatah ‘tak lekang dek hujan, tak lapuk dek panas’. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit