Penjenamaan BN Main Peranan Untuk Lebih Relevan Depani Dinamika Politik – Penganalisis
KUALA LUMPUR, 6 Dis – Timbalan Naib Canselor (Akademik) Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berpandangan tiada masalah untuk sesebuah parti politik yang lama bertapak dalam negara untuk terus berada dalam arena politik nasional.
Namun menurut beliau, langkah penjenamaan baharu perlu dilakukan seiring dengan mood pengundi dan dinamika politik.
“Berbicara tentang BN saya nak memetik Charles Darwin berkenaan survival of the fittest (keperluan untuk menjadi yang paling cergas). BN sudah 50 tahun adakah masih cergas untuk berada dalam harus politik perdana?
“Sebenarnya tiada isu berapa lama tempoh satu-satu parti politik itu berada dalam tampuk pentadbiran sama ada dalam kerajaan ataupun dalam politik nasional.
“Tapi yang paling penting itu memang konteks penjenamaan itu saya rasa perlu ada sebab kita lihat bahawa dah 50 tahun jadi orang dah tahu sebenarnya jenama BN itu bagaimana tetapi untuk 50 tahun akan datang apa yang baru? Sebab rakyat nak lihat perkara yang baru,” katanya.
Dr Mohd Azizuddin berkata demikian pada Forum Rekalibrasi Barisan: Perspektif Intelektual Untuk Masa Depan yang diadakan di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, di sini malam tadi.
Antara panel yang bersama dalam diskusi Profesor Wong Chin Huat (Universiti Sunway) dan Datuk Dr Sivamurugan Pandian (Universiti Sains Malaysia). Turut hadir Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Beliau turut sama mengambil contoh parti Buruh di Britain yang melakukan penjenamaan pada 1996 sehinggakan menukar ideologi parti mereka daripada sosialisme kepada liberalism sosialisme.
“Penjenamaan parti Buruh memang ekstrem sehinggakan tukar ideologi sosialisme kepada liberalism sosialisme itu dapat tentangan yang sangat hebat daripada orang dalam parti.
“Sebab tak suka perubahan ideologi jadi macam konteks parti politik di barat ini banyak berasakan ideologi menyebabkan dia menang sebab rakyat nak tengok jenama baru politik jadi benda ni tak boleh lari dalam politik Malaysia,” ujar beliau.
Sementara itu penganalisis politik dari Sunway Universiti, Profesor Wong Chin Huat berpandangan adalah lebih baik kepada UMNO/BN untuk bersama dengan Pakatan Harapan (PH) berbanding Perikatan Nasional (PN).
“Apa yang dihadapi oleh UMNO/BN hari ini kerana selepas PRU (Pilihan Raya Umum) bersama dengan PH adalah keputusan yang paling baik untuk BN kerana menjadi abang ngah sebaliknya kalau bersama dengan PN… UMNO/BN akan menjadi adik bongsu… itu realiti.”
Dalam pada itu katanya lagi, kedudukan ekonomi negara yang baik juga tidak memberikan jaminan bahawa kerajaan akan bertahan.
“Sebab itu kalau kita lihat bahawa ekonomi itu penting untuk menjamin kemenangan, saya rasa itu benar separuh. Kalau ekonomi teruk, kerajaan pasti jatuh tetapi tak ada jaminan bahawa kerajaan berjaya dalam ekonomi, kerajaan akan menang.
“Lihat apa yang berlaku di Amerika Syarikat, kerajaan oleh Joe Biden pencapaian ekonominya sebenarnya lebih baik daripada Donald Trump tetapi dia kalah teruk,” katanya lagi. – UMNO Online