Sambutan Jubli Emas BN Ada Signifikan Tersendiri, Persiapan Berjalan Lancar – Sahfri
KUALA LUMPUR, 6 Dis – Persiapan sambutan ulang tahun Barisan Nasional (BN) ke-50 esok berjalan lancar dan pelbagai pengisian telah dirangka bermula daripada awal pagi hingga berakhirnya pada sebelah petang.
Setiausaha Eksekutif BN, Datuk Mohamad Sahfri Ab Aziz berkata ulang tahun jubli emas BN itu akan disempurnakan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada kemuncak acara program tersebut dan turut diserikan dengan acara lain.
Menurut beliau program pada awal pagi melibatkan program Wanita, Pemuda dan Puteri termasuklah pelepasan konvoi bantuan bajir di negeri-negeri yang terlibat oleh Ahmad Zahid.
“Esok merupakan sambutan ulang tahun ke-50 jubli emas BN yang mana telah ditubuhkan pada Julai 1974. Jadi kita dah masuk tahun yang ke-50. Dan sambutan ini kita bahagikan kepada banyak kluster.
“Yang pertama sekali pada sebelah pagi melibatkan program Wanita, Pemuda dan Puteri yang mana mereka akan merangka komitmen anak-anak muda untuk diserahkan kepada Dewan Tertinggi pada sebelah petang iaitu di hadapan kepimpinan UMNO, MCA, MIC, PBRS dan parti-parti bergabung yang lain.
“Jadi sebelah pagi akan ada program sehingga pukul 12 tengah hari. Kemudiannya kita ada buat satu program iaitu perlepasan misi sukarelawan pasca banjir yang mana akan melibatkan penghantaran sukarelawan dan juga barang-barang keperluan lain ke negeri-negeri yang terlibat dilanda musibah banjir,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.
Terdahulu beliau bersama kakitangan BN/UMNO yang lain mengadakan raptai serta meninjau persiapan akhir program berkenaan. Turut serta Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan.
Sahfri seterusnya menambah sambutan ulang tahun jubli emas BN mempunyai signifikan yang tersendiri dan perjuangannya terus kekal hingga ke hari ini dalam usaha membantu dan membela rakyat serta membangunkan negara.
“Kita semua tahu bahawa BN ini antara parti yang paling lama, paling tua dalam negara kita yang telah membina, membangun dan juga membawa kemajuan kepada negara kita di saat kita memerintah sebagai satu parti yang menguruskan negara selama ini.
“Sekarang walaupun kita berada dalam sebuah Kerajaan Perpaduan tetapi komitmen BN tak lari, iaitu sebagai gabungan parti-parti yang pelbagai kaum, bangsa, etnik dan juga pelbagai latar belakang agama ini masih komited untuk memberi sumbangan yang terbaik kepada rakyat dalam negara kita.
“Sebab itu esok pada sebelah petang ia sangat penting yang mana melibatkan ucapan-ucapan daripada semua kepimpinan parti-parti yang menyatakan hasrat mereka untuk 50 tahun atau 100 tahun yang akan datang. Kita juga akan melancarkan satu piagam sebagai satu aku janji komitmen BN untuk kita persembahkan kepada rakyat hasrat BN untuk 50 atau 100 tahun yang akan datang bagi kita memajukan negara yang kita cintai, Insya-Allah,” ujarnya.- UMNO Online