Johor Komited Contohi Pendekatan Strategik JAFZA
KUALA LUMPUR, 6 Dis – Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi bersyukur beliau dan delegasi kerajaan negeri telah mengadakan lawatan kerja ke Jebel Ali Free Zone (JAFZA), Dubai, sebuah syarikat logistik multinasional yang terkemuka di bawah pengurusan DP World.
Menurut Onn Hafiz, menerusi pertemuan tersebut DP World telah berkongsi pengalaman mereka dalam mengintegrasikan teknologi moden untuk meningkatkan kecekapan perdagangan dan logistik di mana JAFZA memainkan peranan penting dalam memudahkan urusan tersebut.
“Dengan kerjasama dan pembelajaran dari model zon perdagangan bebas seperti Jebel Ali, saya berharap kita mampu meneroka peluang strategik yang dapat memperkukuh rangkaian logistik dan perdagangan di Johor.
“Kerajaan negeri komited untuk mencontohi pendekatan strategik JAFZA, bukan sahaja untuk merangsang perdagangan antarabangsa tetapi juga untuk mencipta peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup Bangsa Johor.
“Dengan visi yang jelas, Johor bersedia melangkah ke hadapan sebagai peneraju ekonomi serantau. Insya-Allah,” kata Onn Hafiz yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri menerusi satu hantaran di laman X.
Tambahnya lagi, semasa lawatan beliau teruja melihat teknologi yang digunakan di JAFZA dalam memastikan perniagaan dapat beroperasi dengan lebih cekap dan lancar.
Antaranya seperti mewujudkan platform digital bagi mengurus operasi secara dalam talian; teknologi logistik moden seperti sistem pengesanan masa nyata (real-time tracking) bagi memastikan penghantaran barang dapat diurus dengan lebih pantas; dan pengendalian automatik dengan kren automatik dan robotik untuk memuat dan memunggah kargo dengan kecekapan tinggi. – UMNO ONLINE