Skandal Sabah Mineral Management: Bukan Soal Politik, Tapi Tanggungjawab Kepada Rakyat – Suhaimi
KOTA KINABALU, 5 Dis – Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir, menegaskan bahawa skandal rasuah Sabah Mineral Management Sdn Bhd yang melibatkan kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bukan sekadar isu politik, tetapi soal tanggungjawab moral kepada rakyat Sabah.
Sehubungan itu, beliau menyeru Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, untuk segera meletakkan jawatan demi memulihkan kepercayaan rakyat terhadap pentadbiran negeri.
“Ini bukan soal politik, tetapi soal tanggungjawab moral kepada rakyat. Rakyat Sabah berhak mendapat pemimpin yang ikhlas, bersih, dan bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Suhaimi yang juga Ahli Parlimen Libaran membezakan antara skandal rasuah Sabah dengan kes pelaburan FELCRA Berhad dengan menjelaskan bahawa kes FELCRA melibatkan keputusan pelaburan yang diluluskan oleh Lembaga Pengarah, Kementerian Kewangan, dan hanya membabitkan tuduhan terhadap individu tertentu.
Sebaliknya, katanya, skandal rasuah Sabah melibatkan tuduhan lebih berat dengan bukti video yang menunjukkan pemimpin GRS didakwa menerima wang sogokan untuk pelaksanaan projek kerajaan negeri.
“Video-video yang kini tular mendakwa penglibatan pemimpin berprofil tinggi termasuk Menteri Kewangan Negeri, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Menteri Kerja Raya merangkap Timbalan Ketua Menteri, dan malah Ketua Menteri sendiri,” katanya dalam satu kenyataan berkaitan hal terbabit.
Menurut beliau, skandal ini mencadangkan kewujudan kartel atau jenayah terancang dalam pentadbiran negeri dengan matlamat mengaut keuntungan dari projek kerajaan.
“Apabila isu rasuah seperti ini timbul, bagaimana rakyat boleh yakin bahawa pemimpin negeri akan bertindak adil atau siasatan akan berjalan telus?” katanya.
Beliau turut membangkitkan risiko penyalahgunaan kuasa jika individu yang sedang disiasat masih memegang jawatan penting.
“Ketua Menteri mempunyai akses kepada dokumen kerajaan yang mungkin berkait rapat dengan kes ini. Bagaimana kepercayaan kepada institusi kehakiman dan pihak berkuasa dapat dipulihkan jika situasi seperti ini terus berlaku?” soalnya.
Suhaimi juga menyuarakan kebimbangan terhadap penderitaan rakyat Sabah yang seolah-olah tidak berkesudahan.
“Di desa-desa, anak-anak kecil masih berjalan berkaki ayam ke sekolah kerana ibu bapa tidak mampu membeli kasut. Di bandar pula, keluarga bergelut dengan kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan pengurusan peruntukan negeri oleh kerajaan GRS.
“Setiap tahun, peruntukan kepada Sabah meningkat. Namun, pada 2024, daripada RM6.67 bilion yang diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan, hanya RM3.1 bilion yang telah dibelanjakan.
“Bagaimana rakyat boleh maju jika peruntukan ini gagal disalurkan dengan efektif?”
Beliau juga memberi amaran bahawa skandal ini mencemarkan imej Sabah di mata dunia, sekali gus menjejaskan keyakinan pelabur.
“Sabah memerlukan pelabur untuk membangunkan infrastruktur dan menyediakan peluang pekerjaan. Namun, dengan imej kepimpinan yang diragui integritinya, pelabur mungkin akan menjauhkan diri, dan rakyatlah yang akan menanggung akibatnya.
“Meletakkan jawatan bukanlah pengakuan bersalah, tetapi tanda tanggungjawab moral dan komitmen untuk memastikan siasatan dijalankan dengan telus,” tegasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa isu ini bukan hanya melibatkan seorang pemimpin tetapi melibatkan sekurang-kurangnya empat menteri, lima pembantu menteri, dan lima pengerusi GLC yang merupakan pimpinan tertinggi dalam GRS.
“Ini bukan lagi soal individu, tetapi kepimpinan sebuah gabungan yang memerintah negeri Sabah,” tambahnya.
Dalam masa yang sama Suhaimi juga menyeru kepada semua pihak agar meletakkan kepentingan rakyat Sabah di hadapan.
“Sabah milik rakyat, bukan milik pemimpin. Jangan biarkan kesilapan individu menghancurkan impian kita semua untuk melihat Sabah bangkit sebagai negeri yang maju dan dihormati,” katanya.
Beliau berharap tindakan segera diambil untuk memulihkan kepercayaan rakyat dan memastikan pentadbiran negeri Sabah kembali berpihak kepada rakyat. – UMNO Online