BN Sambut Jubli Emas Sempena Ulang Tahun Ke-50 Pada Sabtu, 7 Dis
KUALA LUMPUR, 5 Dis – Barisan Nasional (BN) akan menganjurkan sambutan Jubli Emas bersempena ulang tahun ke-50 parti itu pada hari Sabtu ini.
Acara bertemakan “Melayari Bahtera Perjuangan, Menakhoda Negara Bangsa” ini akan berlangsung di Dewan Tun Razak 4 dan Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, dari jam 10.00 pagi hingga 5.00 petang.
Sambutan dijangka akan menghimpunkan kehadiran kira-kira 5,000 orang daripada seluruh negara, termasuk pemimpin tertinggi parti, ahli komponen, dan para penyokong.
Majlis akan dimulakan dengan Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Wanita Barisan Nasional, dan kemudiannya disusuli oleh Program Era Baharu Anak Muda BN membabitkan Datuk Akmal Saleh dan Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi.
Kemuncak acara tersebut akan berlangsung di Dewan Merdeka dengan nyanyian lagu Negaraku, menaikkan bendera BN, dan ucapan daripada Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, diikuti oleh ikrar oleh parti-parti bergabung.
Pada penghujung majlis, pelancaran buku “Coffee Table” sempena 50 tahun BN serta pembacaan piagam setengah abad BN akan menjadi simbolik pengukuhan perjuangan dan pencapaian parti sepanjang lima dekad.
Sambutan ini menjadi platform untuk memperkukuhkan perpaduan dalam parti dan meraikan sumbangan BN terhadap pembangunan negara. – UMNO Online