Skandal Sabah Mineral Management: Integriti Dan Ketelusan Kunci Pulih Kepercayaan Rakyat – Gadzali

LAHAD DATU, 5 Dis – Ketua Penerangan UMNO Lahad Datu, Muhamad Gadzali Said, menekankan bahawa integriti dan ketelusan perlu menjadi keutamaan bagi memastikan kepercayaan rakyat terhadap pentadbiran negeri Sabah dapat dipulihkan.

Selari dengan itu beliau menyeru pemimpin-pemimpin negeri yang terlibat dalam kontroversi Sabah Mineral Management Sdn Bhd untuk mengambil langkah rehat atau melepaskan jawatan sebagai tanda komitmen kepada prinsip tersebut.

Tegasnya, kepercayaan rakyat terhadap kerajaan negeri semakin terhakis berikutan dakwaan salah laku melibatkan sokongan terhadap permohonan lesen carigali arang batu.

“Isu ini bukan sekadar soal teknikal undang-undang, tetapi menyentuh soal etika dan nilai kepimpinan,” katanya.

Beliau turut menyarankan agar pemimpin yang terlibat memberi laluan kepada siasatan yang telus tanpa sebarang pengaruh politik, demi memastikan sistem pentadbiran Sabah kekal berintegriti.

“Mengambil jalan rehat adalah isyarat jelas bahawa kita mempertahankan amanah rakyat,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Muahamad Gadzali berkata, pemimpin yang diberi mandat rakyat perlu meletakkan integriti di atas segala kepentingan lain.

“Integriti adalah asas kepada kepercayaan rakyat. Sebarang pelanggaran tatakelola, sama ada secara langsung atau tidak, merosakkan kredibiliti kerajaan,” tambahnya.

Beliau turut memuji keberanian bekas CEO SMM yang tampil mendedahkan dakwaan penglibatan pihak atasan dalam keputusan pentadbiran.

Namun, beliau menekankan bahawa langkah konkrit perlu diambil untuk menangani persepsi negatif rakyat, termasuk mengambil tindakan terhadap pihak-pihak yang terlibat.

Dalam masa yang sama Muahamad Gadzali menyeru semua pemimpin negeri Sabah agar menjadikan prinsip integriti dan ketelusan sebagai tonggak pentadbiran dan turut mengingatkan bahawa mandat yang diberikan oleh rakyat adalah amanah yang harus dipertahankan dengan penuh tanggungjawab.

“Kepercayaan rakyat adalah aset paling penting dalam pentadbiran. Sebarang defisit kepercayaan akan membawa kesan buruk kepada negeri ini. Oleh itu, pemimpin perlu berani bertindak demi memastikan sistem pentadbiran Sabah terus dihormati dan dipercayai,” katanya lagi.

Sebelum ini dilaporkan terdapat lapan video daripada pemberi maklumat menunjukkan perbincangan antara ahli perniagaan dan Adun mengenai ‘pecahan komisyen’ untuk lesen projek perlombongan mineral.

Peguam kepada pemberi maklumat itu berkata anak guamnya sedia memberikan bukti kepada SPRM jika agensi antirasuah itu boleh memberi jaminan bahawa dia tidak akan disiasat.

Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki membidas helah itu dan meminta bukti diberikan supaya siasatan dapat dibuat segera.

Dalam hal tersebut, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Nor dilapor berkata beliau tiada apa untuk disembunyikan dan menegaskan tiada lesen melombong kepada mana-mana pihak di sebalik dakwaan dalam video disebarkan pemberi maklumat. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit