Dua Tahun Genggam Amanah, Ahmad Zahid Ikrar Terus Beri Khidmat Terbaik

KUALA LUMPUR, 5 Dis – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluahkan kesyukuran sempena dua tahun amanah yang diberikan kepada beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata sepanjang tempoh tersebut, pelbagai cabaran telah dilalui dengan kenangan dan kejayaan yang telah dikecapi bersama.

“Alhamdulillah, genap dua tahun saya diberi amanah untuk berkhidmat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri di KKDW.

“Setiap usaha yang digembleng ini tidak lain adalah untuk membawa kemajuan kepada desa, memperkasa modal insan, memperkukuhkan ekonomi bumiputera, pembangunan Islam, meningkatkan pengurusan risiko bencana negara serta mengembangkan industri halal negara ke peringkat global.

“Semua ini dilaksanakan dengan satu matlamat utama iaitu untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang maju, dihormati dan sejahtera,” katanya menerusi satu hantaran du Facebook.

Dalam pada itu Ahmad Zahid juga turut berkata kejayaan-kejayaan yang telah diraih ini tidak dicapai oleh individu semata namun hasil kerjasama erat antara seluruh rakyat, agensi dan pemimpin yang bersama-sama mendukung satu aspirasi.

“Terima kasih saya ucapkan kepada semua pihak yang terus memberi kepercayaan kepada saya untuk memikul tanggungjawab yang sangat besar ini.

“Insya-Allah, saya akan terus menjalankan amanah ini dengan penuh dedikasi dan komitmen untuk memastikan lebih banyak lagi kejayaan yang boleh kita banggakan bersama,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit