Ahmad Zahid Bangga Kejayaan KKDW, Usaha Gigih Perkasa Pembangunan

KUALA LUMPUR, 4 Dis – Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menyampaikan penghargaan atas kejayaan besar yang dicapai Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sepanjang tahun ini.

Beliau menegaskan bahawa pencapaian ini merupakan hasil usaha gigih dan kerjasama erat semua pihak dalam memperkasakan pembangunan masyarakat desa di seluruh negara.

Dalam ucapannya sempena Majlis Perhimpunan Bulanan KKDW Disember 2024 dan Sambutan Hari Inovasi KKDW, beliau menekankan bahawa Aspirasi Desa MADANI, yang diperkenalkan awal tahun ini, telah menjadi panduan utama pelaksanaan pelbagai inisiatif kementerian.

Dengan semangat tersebut, katanya, KKDW berjaya mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang yang memberi impak besar kepada rakyat.

“Alhamdulillah, secara peribadi, saya amat berbangga dengan pencapaian KKDW sepanjang tahun 2024 ini dan saya yakin bahawa usaha gigih kita hari ini akan menjadi asas yang kukuh untuk melakar kejayaan yang lebih gemilang pada tahun 2025.

“Semoga kita dapat terus bersama-sama dalam perjuangan membawa aspirasi desa ke tahap yang lebih tinggi demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara. Insya-Allah,” katanya yang dipetik menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.

Ahmad Zahid juga menyatakan kebanggaannya terhadap pelbagai kejayaan yang diraih sepanjang tahun ini.

“Dalam bidang pendidikan, kita telah melahirkan generasi muda yang cemerlang melalui program seperti TVET Tahfiz dan Pra Tahfiz KEMAS. Dari sudut pembangunan ekonomi, program seperti TVET Teknopreneur dan Pendigitalan Usahawan Desa telah membantu masyarakat desa meningkatkan kemahiran serta daya saing.

“Dari segi infrastruktur pula, pencapaian kita seperti Projek Biogas FELCRA Jayaputra dan pembinaan ribuan rumah baharu serta baik pulih kediaman adalah di antara kejayaan yang amat membanggakan.”

Beliau turut menyentuh kejayaan dalam pembangunan infrastruktur, termasuk Projek Biogas FELCRA Jayaputra, serta pembinaan ribuan rumah baharu dan baik pulih kediaman yang memberi manfaat besar kepada penduduk desa.

Menurutnya, kejayaan ini membuktikan komitmen kementerian dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Hari ini juga, kita meraikan Hari Inovasi KKDW 2024 di mana budaya inovasi terus ditekankan sebagai teras kepada kecemerlangan perkhidmatan. Dengan pemikiran kreatif dan inovatif, KKDW akan kekal berdaya saing serta memberikan impak yang lebih besar kepada rakyat, khususnya 8.1 juta penduduk desa yang kita santuni di seluruh negara,” ujarnya.

Beliau turut menyeru warga KKDW untuk memainkan peranan aktif dalam membantu mangsa banjir yang terjejas, dengan mencadangkan beberapa inisiatif bagi memastikan kebajikan mereka terpelihara.

“Ini mencerminkan komitmen kementerian dalam menjaga kebajikan masyarakat pada masa-masa mencabar,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit