Tiga Institusi TVET Terjejas Banjir Segera Dibaiki – Ahmad Zahid
MELAKA, 4 Dis – Tiga institusi menawarkan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang terjejas banjir di Kelantan akan segera dibaiki bagi memastikan pembelajaran pelajar tidak terjejas.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata institusi yang terjejas ialah Kolej Kemahiran Tinggi Mara Pasir Mas, GIAT Mara Pasir Mas dan GIAT Mara Tumpat, yang mengalami kerosakan kemudahan agak teruk.
“Setakat ini ada tiga dan kita akan segera memperbaikinya. Antara kerosakan dilaporkan adalah melibatkan perabot dan peralatan latihan manakala MRSM Tumpat pula dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup JELITA@KPT Summit 2024 di Dewan Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Naib Canselor UTeM Prof Datuk Dr Massilla Kamarudin
Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara berkata langkah lebih proaktif sedang dan akan dilaksanakan dalam usaha meningkatkan jumlah wanita dalam bidang TVET memandangkan wujudnya jurang sangat ketara.
“Jurang ketara ini iaitu hanya 30 peratus (wanita sertai TVET) menjadi peringatan untuk kita mengambil langkah lebih tuntas dan agresif dalam menyokong ikhtiar memperkasakan wanita dalam bidang TVET kerana ia bukan hanya menawarkan peluang meningkatkan pendapatan tetapi juga kestabilan kerjaya jangka panjang.
“Untuk itu, lebih banyak usaha strategik dirancang termasuk membuka ruang bagi wanita terlibat dalam pekerjaan berkemahiran dan berteknologi tinggi, sekali gus mengatasi cabaran budaya, stigma dan struktural tradisional yang sering menjadi kekangan penyertaan wanita dalam sektor TVET,” katanya.
Terdahulu, lebih 3,000 peserta dari institusi pengajian tinggi di seluruh negara menyertai Program JELITA@KPT 2024 dengan 80 peratus adalah golongan wanita dengan lebih 100 program pensijilan Advanced TVET dilaksanakan menerusi dua fasa yang bermula Januari lepas. – BERNAMA