Terus Suburkan Perjuangan UMNO Di Sabah, Semangat Kebersamaan Demi Rakyat – Jeffery Nor

KOTA KINABALU, 4 Dis – Pengarah Jentera Pilihan Raya UMNO Sabah, Jeffery Nor Mohamed menegaskan bahawa perjuangan UMNO di negeri tersebut perlu terus dihidupkan dalam apa jua keadaan lantaran keberadaannya amat relevan untuk semua.

Katanya, UMNO berpegang kepada prinsip dan dasar perjuangan yang bertujuan untuk memastikan kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat diutamakan.

“UMNO telah terbukti komited dalam membela rakyat, tanpa mengira latar belakang atau status sesiapa pun. Kami sentiasa memastikan bahawa setiap keputusan dan dasar yang dibuat adalah demi kepentingan rakyat, terutamanya di negeri Sabah yang kaya dengan budaya dan keperluan masyarakat berbeza,” ujar beliau.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putatan berkata, dalam usaha melaksana hasrat tersebut, pelbagai program diaplikasi antaranya turun padang yang melibatkan penyertaan aktif bukan hanya dikalangan ahli jawatankuasa parti tetapi juga anggota UMNO bersama penduduk tempatan.

“Antara program yang dilaksanakan termasuk ziarah ke rumah-rumah penduduk, saling menyantuni serta pertemuan dengan Ketua-ketua Cawangan UMNO untuk berbincang mengenai parti dan keperluan masyarakat.

“Selain itu, program sukan juga tidak ketinggalan dalam agenda bagi melibatkan semua peringkat usia, ada pertandingan futsal misalnya yang dianjurkan oleh Pemuda UMNO Bahagian bersama belia di Kampung Sri Pandan baru-baru ini.

“Program-program wanita juga mendapat perhatian apabila diadakan satu sesi memasak bersama penduduk seperti di PDM Sembulan Utara yang dapat merapatkan lagi hubungan, selain sukaneka Tadika dengan melibatkan keluarga dan kanak-kanak dalam aktiviti yang menyeronokkan.”

Jelasnya, ini semua adalah antara program yang dijalankan bagi memupuk semangat kebersamaan dan menyuburkan budaya muafakat dalam masyarakat.

“Acara ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara parti dan semua golongan dalam masyarakat, ada yang muda, golongan wanita, acara keluarga dan sebagainya sekaligus memastikan setiap golongan mempunyai suara untuk turut didengari dalam perjuangan parti.

“Kami di UMNO tidak hanya mendengar, tetapi juga bertindak untuk memastikan setiap program yang dilaksanakan memberi manfaat kepada rakyat. Perjuangan kami adalah untuk rakyat, demi masa depan yang lebih baik untuk generasi yang akan datang,” ujarnya.

Menyentuh berkaitan menjelangnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 yang bakal berlangsung, katanya UMNO akan terus fokus kepada kepentingan penduduk setempat dan memastikan mereka memahami hala tuju parti.

“Kami akan memberi penerangan mengenai dasar dan pendekatan UMNO untuk pembangunan negeri dan kemajuan rakyat, terutamanya di kawasan-kawasan luar bandar selain keperluan pelbagai infrastruktur,” katanya.

Beliau menambah, tujuan utama UMNO adalah untuk memastikan pembangunan yang adil dan seimbang, iaitu setiap lapisan masyarakat dapat merasai hasil daripada kemajuan yang dibawa oleh parti.

“Segala usaha ini adalah sebahagian daripada komitmen UMNO untuk memastikan setiap lapisan masyarakat terlibat dalam pembangunan parti serta mempersiapkan UMNO dengan lebih mantap untuk menghadapi PRN17 yang akan datang.

“UMNO akan terus memperkukuhkan kedudukan parti dan memastikan rakyat dapat merasai hasil daripada perjuangan yang telah diterjemahkan dalam bentuk suara untuk dilaksana demi kemajuan dan kesejahteraan bersama,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit