Wanita UMNO Sabah Gesa Tubuh RCI, Siasat Skandal Sabah Mineral Management

KUALA LUMPUR, 4 Dis – Wanita UMNO Sabah menggesa penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat skandal membabitkan syarikat Sabah Mineral Management Sdn Bhd yang dikaitkan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) baru-baru ini.

Ketuanya, Datuk Noraini Idris berkata ia bagi memastikan siasatan terperinci dilakukan berikutan salah urus serta penyelewengan dalam pengurusan syarikat tersebut.

Menurut beliau ini kerana sebagai negeri yang kaya dengan hasil bumi, rakyat Sabah tidak boleh terus membiarkan kekayaan negeri ini dieksploitasi tanpa akauntabiliti oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Wanita UMNO Sabah mengambil maklum dan menyatakan kegusaran terhadap dakwaan serius berkaitan video tular ADUN Negeri Sabah dan Sabah Mineral Management San Bhd yang mencerminkan wujudnya salah guna kuasa dan ketidakcekapan dalam menguruskan sumber asli negeri Sabah.

“Sehubungan itu, kami dengan tegas mendesak penubuhan RCI untuk menyiasat pengurusan sumber asli negeri Sabah secara menyeluruh.

“Demi memastikan Sabah kembali kepada landasan pembangunan yang adil dan berintegrifi, adalah penting untuk Kerajaan Negeri Sabah mengambil tanggungjawab penuh terhadap dakwaan serius ini,” katanya yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Penampang menerusi satu kenyataan.

Sebelum ini, media melaporkan SPRM Sabah sudah memulakan siasatan membabitkan dakwaan rasuah berkaitan perolehan projek mineral membabitkan ahli perniagaan yang dikaitkan dengan ADUN.

SPRM dilaporkan berkata, pihaknya sudah menerima aduan mengenai seorang ahli perniagaan yang disyaki terbabit isu dakwaan rasuah berkaitan perolehan projek mineral di negeri itu.

Menurut laporan, siasatan awal berhubung aduan itu membawa kepada penemuan maklumat yang mengaitkan beberapa ADUN Sabah dengan ahli perniagaan terbabit.

Malam tadi, Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun yang turut terkait dengan dakwaan tersebut sudah secara sukarela memberikan kenyataan kepada SPRM. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit