Noraini Turun Padang Tinjau PPS Di Kelantan, Sampaikan Bantuan Asas

KUALA LUMPUR, 3 Dis – Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berbesar hati mengadakan tinjauan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan bagi melihat sendiri situasi sebenar mangsa banjir.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut hadir bersama sukarelawan daripada Kelab Skuad Sayang 3K dengan menghantar bantuan asas termasuk makanan, keperluan harian dan peralatan kecemasan untuk meringankan beban mereka yang terjejas.

Di samping menyampaikan bantuan, Noraini turut sama memanfaatkan peluang tersebut dengan beramah mesra dengan mangsa banjir terutama wanita sambil meluahkan harapannya untuk mereka bersabar dengan musibah yang melanda.

Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Komandan Kelab Skuad Sayang 3K Kebangsaan, Hisham Suhaily; Timbalannya, Reny Rahayu; Exco Wanita UMNO Malaysia, Datuk Waheedah Faruz; Ketua Wanita Negeri Kelantan, Norwahida Patuan dan ketua-ketua Wanita bahagian.

Sukarelawan Kelab Skuad Sayang 3K sebelum ini memainkan peranan penting dalam misi ini dengan memberi bantuan langsung di PPS, usaha tersebut selaras dengan semangat kesukarelawanan dan keprihatinan terhadap komuniti.

Terdahulu, keadaan cuaca baik sejak semalam menyebabkan beberapa kawasan di Kelantan terutama kediaman sudah pulih daripada banjir.

Situasi itu membolehkan penduduk pulang ke rumah masing-masing sejak semalam dan menyebabkan mangsa banjir di Kelantan berkurangan kepada 58,141 orang setakat 7 pagi ini berbanding 62,507 orang malam tadi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit