Johor Lancar Operasi Bersepadu Tangani Perniagaan Warga Asing Tanpa Lesen
KULAI, 2 Dis – Johor, melalui semua 16 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), sedang giat melaksanakan operasi bersepadu bagi mengekang perniagaan yang dikendalikan oleh warga asing tanpa lesen dan yang melanggar undang-undang kecil tempatan.
Exconya, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata langkah ini diambil untuk melindungi peniaga tempatan dan memastikan ekonomi negeri ini berkembang dengan adil.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kulai, menegaskan bahawa operasi ini akan dijalankan secara berkala dan melibatkan kerjasama antara agensi penguatkuasaan negeri dan persekutuan.
“Kami memberi amaran kepada pemilik pemilik bangunan atau kedai yang menyewakan kepada warga asing yang tidak berlesen dan melanggar undang undang maka tindakan tegas akan diambil terhadap mereka,” katanya kepada UMNO Online.
Terdahulu operasi bersepadu ini, yang melibatkan pihak berkuasa seperti Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan Majlis Perbandaran Kulai (MPKu), telah dilaksanakan baru-baru ini di Taman Bintang Utama, Senai, dengan sejumlah perniagaan telah disita dan empat warga asing ditahan atas kesalahan imigresen.
“Operasi ini akan dibuat secara berkala melibatkan agensi penguatkuasaan negeri dan Persekutuan bagi memastikan keselamatan ekonomi negeri dan kepentingan peniaga tempatan.”
Jelasnya, pihak berkuasa juga menekankan kepada pemilik perniagaan agar tidak menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah dan tidak menggajikan pekerja asing tanpa permit sah.
Selari dengan itu, beliau meminta agar orang awam yang mempunyai maklumat mengenai penyalahgunaan lesen perniagaan untuk mengemukakan aduan kepada MPKu di alamat email: mpku@johor.gov.my. – UMNO Online