Banjir Produk Pelancongan: Kerajaan Negeri Kelantan Tidak Sensitif Kesusahan Rakyat

KUALA LUMPUR, 2 Dis – Idea untuk menjadikan banjir sebagai produk pelancongan membuktikan bahawa Kerajaan Negeri Kelantan tidak sensitif terhadap kesusahan rakyat dan tandus idea untuk memajukan negeri.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kelantan, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, kenyataan itu turut menunjukkan bahawa individu yang melontarkan pandangan itu tidak mempunyai kompetensi untuk memacu pelancongan negeri tersebut.

“Terpanggil untuk mengulas mengenai idea Exco Pelancongan Negeri Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Nor yang berhasrat menjadikan musim tengkujuh sebagai satu produk pelancongan untuk Tahun Melawat Kelantan 2024 (TMK2024).

“Saya telah menghubungi rakan-rakan wartawan untuk dapatkan pengesahan lanjut mengenai kenyataan tersebut, ternyata ia memang keluar dari mulut exco itu sendiri.

“Kenyataan yang saya sifatkan ketandusan idea untuk memajukan Negeri Kelantan di samping telah mendedahkan bahawa beliau seorang yang tiada kompetensi untuk memacu pelancongan Negeri Kelantan ke tahap wajar,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri berkata, Kamarudin juga pernah mengeluarkan kenyataan yang tidak cermat sebelum ini mengenai jumlah kehadiran pelancong di Kelantan untuk enam bulan pertama tahun 2024.

”Ini bukanlah kali pertama kenyataan tidak cermat dikeluarkan oleh beliau. Semasa sidang Dewan Negeri yang baru berlalu, beliau juga telah menyalahkan media mengenai isu kehadiran 700,000 pelancong ke Negeri Kelantan untuk enam bulan pertama 2024.

“Justeru, pada saya kenyataan beliau adalah bersifat dangkal dan tidak sensitif terhadap kesusahan rakyat yang berdepan kehilangan harta benda setiap kali menghadapi musim tengkujuh yang menatijahkan bencana banjir setiap tahun,” katanya.

Pada Khamis media melaporkan Kelantan sedang merancang usaha bagi mempromosi sukan luncur ombak atau ‘surfing’ pertengahan bulan depan sebagai satu produk pelancongan negeri di ‘musim tengkujuh’.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Datuk Kamarudin Md Noor berkata walaupun kelihatan agak janggal, namun ia tidak mustahil dilaksanakan memandangkan Kelantan memiliki beberapa tempat yang sesuai untuk sukan berkenaan.

Beliau berkata, pada musim tengkujuh kawasan seperti Pantai Kemasin dan Melawi mempunyai ombak besar dan amat sesuai dengan sukan luncur ombak.

Menurutnya, usaha itu dilakukan ekoran musim tengkujuh menjadikan persekitaran Kelantan agak sepi, dengan jumlah kehadiran pelancong tidak ramai. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit