Ketepikan ‘Warna’ Politik Hadapi Banjir, Keadaan Lebih Teruk Dari 2014 – Ahmad Zahid

SHAH ALAM, 1 Dis – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata semua pihak perlu ketepikan ‘warna’ dan fahaman politik dalam menyantuni dan menyelesaikan masalah berkaitan banjir di seluruh negara ketika ini khususnya di Kelantan dan Terengganu.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Presiden UMNO, berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen BN Selangor di Pusat Konvensyen Shah Alam hari ini.

Ujarnya, kerjasama yang erat antara jentera penyelamat kerajaan pusat dan kerajaan negeri telah dimodifikasikan sepenuhnya bagi membantu mangsa-mangsa banjir.

“Saya sempat ke Kelantan dan Terengganu dan saya melihat wakil-wakil rakyat daripada pelbagai parti yang berbeza juga turut bersama-sama.

“Kita perlu ketepikan perbezaan-perbezaan ‘warna-warna’ di kalangan kita demi menyantuni dan menyelesaikan masalah mangsa-mangsa banjir ini,” katanya.

Terdahulu beliau memaklumkan bahawa apa yang lebih membimbangkan ialah keadaan dijangka semakin buruk dengan fenomena air pasang besar di Laut China Selatan dan di Selat Melaka, yang berada di puncaknya.

Namun begitu ujarnya, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) menjangka berlaku pengurangan luruan hujan nanti.

“Kita yakin dengan pengurangan luruan hujan itu, ia akan mengurangkan pemindahan (mangsa banjir) ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS),” katanya.

Dalam hal ini Ahmad Zahid berharap agar penduduk di negeri yang terkesan dengan banjir dapat mengikut arahan jawatankuasa bencana negeri, dan ketika ini lebih 82,000 pegawai dan anggota keselamatan telah dimobilisasikan bagi membantu mangsa di kawasan terlibat.

Beliau berkata, ketika ini PPS yang ada di seluruh negara mampu menampung kira-kira 2.1 juta mangsa banjir.

“Namun kita merasakan kesiapsiagaan sahaja tidak mencukupi, penduduk di kawasan yang dijangkakan banjir terutama di kawasan rendah hendaklah mengikut nasihat diberikan jawatankuasa bencana negeri untuk berpindah awal.

“Kita tidak mahu jumlah kematian bertambah, maka kesiapsiagaan dan amaran awal mesti diikuti sepenuhnya agar dapat mengelakkan kehilangan nyawa,” katanya

Beliau juga turut meminta agar badan sukarelawan dan individu supaya bersedia untuk menyalurkan bantuan pasca bencana bagi meringankan beban mangsa pasca banjir.

Turut hadir Setiausaha Agung BN Datuk Seri Zambry Abd Kadir, Pengerusi BN Selangor Datuk Megat Zulkarnain Omardin dan Menteri Besar Selangor merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor Datuk Seri Amirudin Shari. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit