Pemuda UMNO Negeri Menjunjung Kasih Sultan Selangor, Setiap Cadangan Perlu Ada ‘Homework’

SHAH ALAM, 1 Dis – Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Selangor menjunjung kasih titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, agar pihak yang mencadangkan perubahan nama Universiti Putra Malaysia (UPM) memahami dan meneliti sejarah sebelum membuat sebarang keputusan.

Menurut Ketua Penerangannya Iszuwan Ismail, Sultan Selangor mengingatkan bahawa nama UPM diambil sempena Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj, sebagai penghormatan kepada pemimpin ulung negara termasuk bertitah bahawa singkatan PUTRA membawa maksud “Pertanian untuk Rakyat”.

“Adalah menjadi suatu kejanggalan untuk menteri kabinet kerajaan membuat cadangan terbuka tanpa panduan termasuk ‘homework’ teliti yang kali ini telah membawa kesan yang lebih besar dengan dilihat cuai dan mengabaikan peranan DYMM Sultan Selangor sebagai Canselor UPM.

“Apa lagi dalam konteks tersebut, ia tidak langsung di dalam skop dan pentadbiran di bawah kementerian yang diterajui,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Terdahulu petiknya, demi menjaga hati pelancong asing ada menteri kabinet dengan semberono mempertikaikan penggunaan Bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan.

“Kesetiaan kepada Raja-Raja Melayu dan keluhuran perlembagaan termasuklah martabat Bahasa Kebangsaan menjadi tonggak perjuangan UMNO dan Pemuda UMNO Selangor melihat adalah wajar Perdana Menteri memberi teguran termasuk peringatan dan tegahan tertutup kepada kedua-dua menteri kabinet kerajaan yang terlibat agar insiden ini menjadi pengajaran serta tidak berulang pada masa akan datang,” tegasnya.

Justeru itu kata Iszuwan lagi, sebarang cadangan atau kenyataan pemimpin politik utama negara untuk mana-mana institusi negara yang khususnya melibatkan institusi Diraja serta menyentuh keluhuran perlembagaan termasuk kepentingan dan sensitiviti orang Melayu perlu difikirkan dengan penuh pertimbangan yang bijaksana.

Sekiranya tidak berkebolehan serta berkemampuan, demi kestabilan kerajaan Madani, adalah wajar digantikan dengan pimpinan lain dalam Gabungan Perpaduan yang lebih berkebolehan dan bertanggungjawab, ujarnya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit