MUBARAK Diseru Perkukuh Keahlian, Depani Cabaran Politik Dinamik Pada PRU ke-16

KUALA LUMPUR, 1 Dis – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) untuk terus memperkukuhkan keahlian demi mendepani cabaran politik yang semakin dinamik pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, usaha MUBARAK dan yayasannya untuk menoktahkan kemiskinan, mengurangkan jurang sosial dan membangunkan modal insan adalah selari dengan agenda Kerajaan Perpaduan.

“Kerajaan Madani yang kita bina bersama berlandaskan prinsip inklusif, rahmah dan ihsan. Kami percaya bahawa pembangunan negara hanya akan berjaya jika tiada rakyat yang dipinggirkan.

“Dalam hal ini, usaha MUBARAK dan Yayasan Mubarak selaras dengan agenda kerajaan seperti usaha menoktahkan kemiskinan, mengurangkan jurang sosial dan pembangunan modal insan.

“Saya menyeru lebih banyak badan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta mengambil inspirasi daripada Yayasan Mubarak dan sama-sama membantu memperluaskan usaha-usaha kebajikan mereka demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Menteri Besar Perak merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Saarani Mohamad pada Majlis Makan Malam Amal dan Perasmian Perhimpunan Agung Tahunan MUBARAK Malaysia kali ke-21, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa usaha MUBARAK dalam menyokong agenda kerajaan amatlah dihargai.

“Menurut laporan World Bank 2023, Malaysia masih menghadapi cabaran besar dalam mengurangkan jurang pendapatan antara golongan kaya dan miskin.

“Oleh itu, peranan MUBARAK dalam menyokong program kerajaan seperti agenda menoktahkan kemiskinan dan dasar ekonomi Madani amatlah dihargai.

“Perhimpunan Agung Tahunan yang berlangsung malam ini adalah medan strategik untuk merangka hala tuju masa depan. Saya yakin, dengan pengalaman dan kebijaksanaan bekas pemimpin yang ada dalam dewan ini, pelan dihasilkan mampu membantu kerajaan dalam menangani cabaran politik, ekonomi, serta sosial,” katanya lagi.

Jelasnya, keutamaan yang perlu diberi oleh MUBARAK pada ketika ini ialah untuk menarik lebih ramai generasi muda kerana mereka adalah pewaris masa depan negara.

“Kerajaan amat menghargai komitmen MUBARAK yang sentiasa mendukung dasar kerajaan, termasuk dalam usaha membina negara yang lebih makmur dan harmoni.

“Salah satu keutamaan yang perlu diberi perhatian ialah usaha untuk menarik lebih ramai generasi muda ke dalam MUBARAK. Generasi muda adalah pewaris masa depan negara. Melalui program mentor-mentee yang diterajui oleh MUBARAK, kita boleh memastikan bahawa pengalaman dan nilai-nilai murni pemimpin terdahulu diwarisi oleh generasi baru.

“Saya mencadangkan agar MUBARAK memperkenalkan program seperti Latihan Kepimpinan Belia Nasional yang melibatkan kerjasama dengan universiti dan institusi pendidikan tinggi. Ini akan memberikan platform kepada generasi muda untuk belajar secara langsung daripada pemimpin berpengalaman,” katanya lagi.

Turut hadir ke majlis tersebut adalah Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Rosni Zahari dan bekas-bekas wakil rakyat termasuklah dari Veteran UMNO. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit