Wanita UMNO Lancar Tabung Kilat Bantuan Mangsa Banjir

KUALA LUMPUR, 30 Nov – Wanita UMNO Malaysia dengan penuh rasa prihatin mengumumkan pelancaran Tabung Kilat Bantuan Mangsa Banjir melalui Kelab Skuad Sayang 3K.

Menurut Ketuanya Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, tabung tersebut merupakan satu inisiatif untuk membantu masyarakat yang terjejas akibat bencana banjir di seluruh negara.

“Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk memberikan bantuan segera kepada mangsa yang memerlukan.

“Tabung kilat ini akan digerakkan secara serentak di semua negeri. Dana yang dikumpulkan akan digunakan untuk menyediakan keperluan asas seperti makanan, pakaian, ubat-ubatan, dan barangan keperluan harian bagi mangsa banjir di pusat pemindahan sementara serta di kawasan yang terjejas teruk,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO Online.

Jelas Dr Noraini lagi, orang ramai yang ingin menyumbang boleh melakukannya melalui akaun rasmi Tabung Kilat Bantuan Mangsa Banjir Skuad Sayang di: Nombor Akaun: CIMB 8604795425 WANITA UMNO MALAYSIA, dengan meletakkan rujukan #banjir2024.

“Kami juga menyeru kepada semua ahli wanita, syarikat korporat, serta individu di seluruh negara untuk bersama-sama menyokong inisiatif ini demi memastikan bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

“Terima kasih diucapkan pada semua penyumbang, bersama kita berganding bahu untuk membantu mangsa banjir,” ujar Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu lagi.

Dilaporkan banjir di seluruh negara kian memburuk, dengan bilangan mangsa banjir di sembilan negeri mencecah 119,525 orang setakat 6.00 pagi hari ini dan ditempatkan di 696 pusat pemindahan sementara (PPS).

Menurut Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kelantan mencatat jumlah mangsa tertinggi, dengan 80,140 orang ditempatkan di 278 PPS di 10 daerah.

Selain Kelantan, negeri yang mengalami banjir adalah seperti Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Perlis, Selangor, Melaka, Perak dan Johor. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit