Banjir Produk Pelancongan: Pemimpin Negeri Kelantan Beri Cadangan Semberono – Dr Azmi
KUALA LUMPUR, 2 Dis – Penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Profesor Dr Azmi Hassan beranggapan bahawa cadangan untuk menjadikan banjir sebagai produk pelancongan adalah bersifat semberono.
Ini kerana katanya, banjir adalah sebuah bencana yang seharusnya diberi perhatian dan diuruskan dengan baik untuk keamanan rakyat di negeri tersebut.
“Jika idea ini datang daripada ahli politik biasa, bukannya exco, saya boleh terima juga. Tetapi masalahnya cadangan ini datang daripada Exco Kerajaan Negeri Kelantan.
“Banjir adalah bencana. Walaupun orang Kelantan melihat setiap kali datang bah ini macam pesta… orang luar tengok memang betul pun macam pesta, tetapi itu dulu. Bukan sekarang. Ini kerana banjir adalah malapetaka dan perlu diuruskan dengan baik.
“Seharusnya bukan saja kerajaan persekutuan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), tetapi kerajaan negeri juga perlu memberi perhatian sepenuhnya kepada mangsa-mangsa bah ini. Walaupun di Kelantan ia dianggap sebagai pesta,” katanya kepada UMNO Online.
Menurutnya, lebih banyak perkara yang perlu dititikberatkan oleh para pemimpin di negeri tersebut dan kenyataan itu ternyata menongkah arus.
“Tetapi apabila cadangan ini dikeluarkan, maksudnya kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan perlu memberi perhatian kepada orang luar yang datang. Seharusnya pada musim banjir ini, pergerakan harus dihadkan terutama sekali dalam perjalanan ke kawasan banjir.
“Ini yang dikatakan amat pelik sekali… datangnya cadangan ini daripada exco kerana banyak perkara yang seharusnya dititikberatkan tidak dinyatakan. Sama juga apabila Ahli Parlimen Tumpat mengesyorkan bahawa pelancong-pelancong asing ditempatkan dalam satu pulau.
“Saya melihat mereka ini tak buat ‘kerja rumah’. Kalaulah cadangan ini dibaca oleh media antarabangsa, maka sudah pasti persepsi yang buruk akan dikenakan terhadap kita, Malaysia,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau berharap agar para pemimpin membuat cadangan yang lebih bernas dan berfikir dengan lebih jauh ketika memberikan solusi dalam apa jua permasalahan.
“Jadi seharusnya ahli politik kita ini… apabila membuat cadangan perlu berfikir samada ia munasabah ataupun tidak… mampu dilaksanakan ataupun tidak.
“Ini saya lihat mereka semberono. Semberono memberi cadangan tanpa memikirkan apa yang patut dan tidak patut dilakukan,” katanya lagi.
Pada Khamis media melaporkan Kelantan sedang merancang usaha bagi mempromosi sukan luncur ombak atau ‘surfing’ pertengahan bulan depan sebagai satu produk pelancongan negeri di ‘musim tengkujuh’.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Datuk Kamarudin Md Noor berkata walaupun kelihatan agak janggal, namun ia tidak mustahil dilaksanakan memandangkan Kelantan memiliki beberapa tempat yang sesuai untuk sukan berkenaan.
Beliau berkata, pada musim tengkujuh kawasan seperti Pantai Kemasin dan Melawi mempunyai ombak besar dan amat sesuai dengan sukan luncur ombak.
Menurutnya, usaha itu dilakukan ekoran musim tengkujuh menjadikan persekitaran Kelantan agak sepi, dengan jumlah kehadiran pelancong tidak ramai. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman