Keselamatan Rakyat Jadi Keutamaan Ketika Banjir, Bukan Suka Ria Untuk Pelancongan – Dr Akmal

KUALA LUMPUR, 29 Nov – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menyifatkan idea untuk banjir dijadikan sebagai promosi perlancongan sebagai tidak masuk akal.

Beliau berkata sebagai pemimpin, ketika berhadapan dengan musim banjir usaha perlu dilakukan untuk membantu menyelesaikan permasalahan, bukannya mengambil kesempatan untuk bersuka ria.

“Memang kita perlu berfikir di luar kotak tetapi ia mesti tetap menggunakan otak bukan letak otak di luar kotak,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Dr Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau dalam pada itu menambah banjir merupakan bencana alam yang tidak boleh dianggap remeh.

Menurut beliau menjadikan banjir sebagai produk pelancongan negeri juga tidak sesuai kerana memberikan risiko mengambil faktor arus yang deras serta haiwan berbisa.

“Banjir ni melibatkan banyak aspek yang perlu diberi perhatian. Aspek keselamatan rakyat,dengan air yang terlalu banyak, arus yang deras, kadar penglihatan yang terhad akibat air penuh, haiwan berbisa yang berada di dalam air.

“Aspek kesihatan rakyat, air banjir ini boleh membawa kepada penyakit bawaan air, kencing tikus, keracunan makanan dan macam-macam lagi dengan air kotor yang mungkin datang dari tempat kumbahan,tempat kandang haiwan dan sudah semestinya menjadi air yang kotor untuk kita.

“Aspek emosi mangsa banjir, mereka sedang diduga dengan kerosakan harta benda, kehilangan orang tersayang sudah tentu banjir ini sedikit sebanyak memberi kesan emosi yang amat sensitif untuk mangsa banjir,” ujar beliau.

Media semalam melaporkan kerajaan negeri Kelantan sedang merancang usaha bagi mempromosi sukan luncur ombak atau ‘surfing’ pertengahan bulan depan sebagai satu produk pelancongan negeri di ‘musim tengkujuh’.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Datuk Kamarudin Md Noor berkata walaupun kelihatan agak janggal, namun ia tidak mustahil dilaksanakan memandangkan Kelantan memiliki beberapa tempat yang sesuai untuk sukan berkenaan. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit