Kebolehpasaran Graduan TVET Tinggi, Menuju Industri Berpendapatan Tinggi – Nuraini

KUALA LUMPUR, 29 Nov – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Negeri Kedah, Nuraini Yusoff berpandangan kursus-kursus yang ditawarkan dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang dibawa kerajaan ketika ini memperlihatkan komitmen yang jitu bagi memastikan bidang ini menuju industri berpendapatan tinggi.

Menurut beliau dengan adanya beberapa industri yang digariskan kerajaan antaranya kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, elektronik, kenderaan elektrik (EV) memperlihatkan peluang yang luas kepada generasi muda.

“Sebenarnya peluang yang ada tu sangat luas kebolehpasaran graduan TVET sebenarnya sangat tinggi kalau kita lihat pada tahun 2023 sebanyak 94.5 peratus kebolehpasaran graduan TVET.

“Kalau kita tengok 100 orang kalau keluar daripada institusi TVET sembilan orang akan dapat kerja.

“Malah kalau kita tengok juga di UniKL, GiatMara, kolej komuniti, kebolehpasaran graduan ni sangatlah tinggi,” katanya pada PodcastMG: TVET: Ada ‘Political Will’ Baru Selesai yang disiarkan malam tadi.

Nuraini yang juga Ketua Puteri Kulim Bandar Baharu dalam pada itu berkata para pelajar di institusi TVET juga tidak perlu perlu bimbang dengan masalah kewangan kerana mereka diberikan elaun, asrama percuma dan yuran pengajian yang kebanyakkannya ditanggung.

Malah katanya stigma TVET hanya untuk pelajar yang keciciran pelajaran adalah tidak benar kerana ia juga berdasarkan pengalamannya yang cemerlang dalam akademik namun memilih menyambung pelajaran dalam bidang TVET.

“Ada yang tak nak sambung belajar sebab kekangan kewangan sedangkan kalau belajar di institusi TVET sebenarnya dapat elaun, asrama percuma dan yuran pengajian kebanyakannya ditanggung. Jadi ini adalah peluang yang sangat baik kerana tak mahu lagi ada keciciran pelajaran, tak dapat sambung belajar.

“Tadi jika dilihat adakah (TVET) untuk orang yang tak pandai, ada stigma masyarakat kalau tak dapat ke laluan akademik baru ke TVET. Tapi sebenarnya tidak semestinya kerana saya sendiri dapat keputusan yang cemerlang juga untuk SPM tetapi memilih untuk masuk ke UniKL dalam bidang otomotif dan sekarang bekerja sebagai jurutera.

“Malah rakan-rakan saya pun semuanya masuk ke industri, bekerja dan tidak ada masalah dalam mencari pekerjaan erana di universiti itu sendiri sudah ada latihan yang masuk ke dalam bengkel. Kalau belajar otomotif itu kita dah tengok engin itu macam mana, piston itu macam mana.

“Jadi itu adalah kelebihan yang ditawarkan dan harap bila adanya dasar TVET negara dan majlis TVET negara ini ada usaha bersepadu yang boleh digerakkan. Sebab kita nak graduan-graduan yang dilahirkan bertepatan dengan kehendak industri hari ini,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit