BN Akan Adakan Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Pada 7 Disember

Kuala Lumpur, 29 Nov – Barisan Nasional (BN) akan mengadakan sambutan ulang tahun ke-50 pada 7 Disember Sabtu) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Menurut Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir, pelbagai acara telah dirancang dengan kehadiran kira-kira 5,000 orang dari seluruh negara.

“BN akan menganjurkan sambutan ulang tahun ke-50 pada 7 Disember (Sabtu) di Dewan Merdeka,WTCKL. Pelbagai acara telah dirancang, dan kira-kira 5,000 pemimpin akar umbi BN dari seluruh negara dijangka hadir,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau memaklumkan Dewan Tertinggi BN telah mengadakan mesyuarat dan mencapai ketetapan tersebut.

Memetik hantaran menerusi laman Facebook BN, ulang tahun tersebut bertemakan ‘Melayari Bahtera Perjuangan, Menakhoda Negara Bangsa’ selain akan dilaksanakan Pelancaran Buku Coffee Table 50 Tahun BN.

BN terdiri daripada gabungan UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

BN ditubuhkan pada 1 Jun 1974 oleh Tun Abdul Razak Hussein, yang ketika itu menjawat jawatan Perdana Menteri Malaysia dan Presiden UMNO.

Gabungan ini dibentuk oleh Tun Abdul Razak Hussein, Perdana Menteri Malaysia yang kedua, untuk menggantikan Parti Perikatan dengan tujuan memperkukuh perpaduan antara kaum dan memajukan negara secara keseluruhan.

BN telah menjadi tampuk kepimpinan negara selama lebih enam dekad, membawa pembangunan ekonomi pesat dan kestabilan sosial. Namun, pada Pilihan Raya Umum 2018, BN mengalami kekalahan dan menjadi pembangkang. Meskipun begitu, BN kini bersama dalam Kerajaan Perpaduan selepas PRU lalu dan memainkan peranan penting demi kestabilan dan kemakmuran negara. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit