Banjir Di Kelantan, Dr Asyraf Wajdi Arah MRSM Tumpat Dibuka Sebagai PPS

KUALA LUMPUR, 28 Nov – Keadaan banjir di Kelantan kini semakin kritikal dengan beberapa kawasan di negeri ini, terutamanya di Tumpat dan sekitarnya, terjejas teruk akibat hujan lebat berterusan.

Setiausaha Agung UMNO merangkap Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengingatkan bahawa nyawa rakyat perlu didahulukan.

“Keadaan banjir di Kelantan semakin kritikal, dan dalam situasi darurat ini, segala aktiviti lain harus ditangguhkan. Nyawa rakyat mesti diutamakan,” ujarnya dalam hantaran dalam laman Facebooknya.

Terdahulu beliau telah dihubungi oleh Ketua Jajahan Tumpat untuk memohon agar MRSM Tumpat dibuka sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi menampung mangsa banjir yang semakin meningkat.

Sehubungan permintaan tersebut, Dr. Asyraf Wajdi segera mengarahkan Pengarah Bahagian Pendidikan Menengah (BPM) untuk menghubungi pihak Pengetua MRSM Tumpat bagi membuka sekolah tersebut sebagai PPS, dengan kerjasama Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Pejabat Jajahan Tumpat.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang bertindak pantas untuk membuka MRSM Tumpat sebagai pusat pemindahan. Ini adalah langkah yang sangat penting bagi memastikan mangsa banjir dapat ditempatkan di kawasan yang lebih selamat.

“Semoga musibah besar seperti banjir 2014 tidak berulang, namun kita perlu bersiap sedia dengan segala kemungkinan. Saya menyeru semua pihak untuk terus bekerjasama dan mendoakan agar saudara-saudara kita di Kelantan dilindungi oleh Allah SWT,” katanya lagi.

Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap bahaya hingga esok, dijangka berlaku di seluruh Kelantan dan Terengganu serta daerah Kuantan dan Jerantut di Pahang. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit