‘Cadangan Banjir Sebagai Produk Pelancongan Adalah Dangkal’- Dr Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 28 Nov – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menempelak cadangan exco kerajaan Kelantan untuk menjadikan banjir sebagai produk pelancongan negeri itu.

Menurut beliau, banjir merupakan musibah dan tidak perlu dijadikan sebagai produk pelancongan yang dikhuatiri memberikan risiko.

“Maaf saya tidak setuju cadangan exco kerajaan Pas Kelantan menjadikan Banjir sebagai produk pelancongan.

“Banjir adalah musibah yang perlu ditangani dengan baik, holistik dan berkesan kerana melibatkan keselamatan, nyawa dan kerugian harta benda, tanam-tanaman milik rakyat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Dr Asyraf berkata sedangkan pada ketika ini rakyat Kelantan mendambakan pertolongan kerajaan negeri dan Pusat agar bergandingan menyelamatkan nyawa mereka dan membantu mereka menghadapi musibah banjir yang makin kritikal.

“Semalam sahaja di Pasir Puteh seorang lelaki menjadi korban bencana dan musibah ini.

“Carilah idea lain untuk memajukan pelancongan Kelantan. Banyak lagi waktu lain untuk difokuskan untuk pelancongan.

“Sehingga tengahari sudah 37,000 mangsa banjir diberitakan sudah dipindahkan. Angkanya makin meningkat hinggakan pihak Ketua Jajahan Tumpat sendiri meminta bantuan saya untuk membenarkan MRSM Tumpat juga digunakan bagi tujuan tujuan penempatan mangsa banjir yang amat tinggi luar biasa pada kali ini,” ujar beliau.

Media hari ini melaporkan kerajaan negeri Kelantan sedang merancang usaha bagi mempromosi sukan luncur ombak atau ‘surfing’ pertengahan bulan depan sebagai satu produk pelancongan negeri di ‘musim tengkujuh’.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Datuk Kamarudin Md Noor berkata walaupun kelihatan agak janggal, namun ia tidak mustahil dilaksanakan memandangkan Kelantan memiliki beberapa tempat yang sesuai untuk sukan berkenaan.

Sehingga kini, paras air Sungai Kelantan di Tambatan D’Raja di Kota Bahru semakin meningkat susulan hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lepas, sekali gus menenggelamkan keseluruhan kawasan daratan di tambatan yang menjadi tarikan pelancongan di negeri berkenaan.

Air Sungai Kelantan juga telah melebihi paras bahaya dan berpotensi melimpah ke daratan.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kelantan Kol (PA) Mohd Adzhar Mujab berkata berkata ketika ini hujan semakin lebat menyebabkan paras air sungai di kawasan hulu meningkat dan bersambung dengan Sungai Kelantan. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.