Jeffery Nor Gesa Isu Air Di Sabah Ditangani, Jangan Bertindak Salahkan Rakyat

KOTA KINABALU, 27 Nov – Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah, Jeffery Nor Mohamed menggesa agar pihak berwajib mengambil tanggungjawab bagi menangani isu bekalan air di Sabah termasuklah penglibatan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).

Ujarnya, langkah terbaharu yang dibuat oleh JANS iaitu mengeluarkan notis amaran untuk mengambil tindakan terhadap individu yang menggunakan pam air secara terus adalah sesuatu yang diibaratkan menyalahkan rakyat.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putatan beranggapan arahan itu tidak munasabah pada ketika ini kerana keadaan sumber air terawat tidak berada dalam keadaan yang baik.

“Bagi penduduk-penduduk di pedalaman, pam air sebagai satu keperluan mustahak dan apabila tekanan air tidak seragam maka terdapat keperluan pam bagi menjamin kelangsungan sumber air,” katanya.

Sewajarnya jelas beliau, JANS perlu mengambil langkah memperbetulkan terlebih dahulu Loji Rawatan Air (LRA) serta saluran-saluran paip agar sumber air terawat dapat disalurkan dengan baik.

“Jika sudah baik sistem penyaluran air, barulah tindakan seperti itu boleh dilaksanakan tapi dengan sistem sumber air kita begini sekarang mana mungkin ia satu tindakan yang perlu dilaksanakan oleh pihak JANS,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau menggesa agar JANS bersikap lebih proaktif bagi membantu rakyat menangani isu bekalan air ini.

“Isu ini bukan perkara baru kerana rakyat telah berhadapan dengan masalah ini selama bertahun-tahun. Bukan tak ada aduan atau teguran malah macam-macam cadangan juga telah diajukan tetapi tindakan yang dibuat oleh pihak berwajib amat mengecewakan.

“Ada kawasan-kawasan yang langsung tiada bekalan air tetapi tidak ada bantuan sedangkan sekurang-kurangnya pihak berwajib perlu pastikan ada lori tangki dihantar ke kawasan kritikal misalnya yang berlaku di Kampung Contoh.

“Ini bukan perkara baru sehinggakan penduduk terpaksa berdepan dengan kesulitan berulang dan tak ada jalan penyelesaian,” tegasnya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.