Elak Bawa Naratif Perpecahan, Kekalkan Kestabilan Politik Dan Fokus Isu Rakyat – Nasrun

KUALA LUMPUR, 26 Nov – Ketua Penerangan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Nasrun Nasaruddin mengingatkan semua pihak untuk elak daripada membawa naratif yang boleh memecah-belahkan kerjasama politik sedia ada.

Menurut beliau ini kerana sebarang kenyataan yang tidak berasaskan fakta hanya akan menimbulkan salah faham dan merugikan gabungan Kerajaan Perpaduan dan rakyat.

“Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan menyeru agar semua pihak memfokuskan perhatian kepada isu rakyat yang lebih mendesak seperti kos sara hidup, perumahan dan pembangunan di Wilayah Persekutuan.

“Politik matang harus mengutamakan kepentingan rakyat, bukan memperbesar-besarkan andaian yang belum diputuskan.

“Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan ingin menegaskan bahawa perjuangan kami kekal konsisten mengutamakan rakyat, memastikan kestabilan politik dan mengukuhkan gabungan yang telah diamanahkan untuk mentadbir negara.

“Kami tidak akan terjebak dengan politik remeh yang hanya bertujuan mengalih perhatian daripada isu sebenar,” katanya menerusi satu kenyataan.

Nasrun yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Wangsa Maju dalam pada berkata persefahaman dalam kerangka kerjasama di antara BN dan rakan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan telah membentuk satu persefahaman kukuh, berasaskan prinsip keterangkuman dan saling menghormati.

Katanya ini termasuk dalam membuat setiap keputusan termasuk pengagihan kerusi, akan dibuat secara kolektif melalui perbincangan rasmi, bukan berdasarkan spekulasi atau kenyataan bersifat provokasi.

“BN kekal komited untuk bertanding di kerusi tradisinya iaitu Putrajaya, Titiwangsa dan Labuan. Bagi tambahan dua kerusi lagi, ia bergantung kepada keputusan meja rundingan yang akan diputuskan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.