Beri Kemahiran, Tingkat Ekonomi… Puteri UMNO Setiu Anjur Kelas Bakeri

KUALA LUMPUR, 26 Nov – Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Setiu telah menganjurkan kelas pastri dan bakeri untuk memberikan kemahiran di samping meningkatkan ekonomi ahli Pergerakan Puteri UMNO di kawasan tersebut.

Ketuanya, Che Hafizah Che Mud berkata, program yang dianjurkan pada Sabtu lalu itu mampu membantu ahli Puteri mengembangkan pendapatan mereka dan menambahkan ilmu pengetahuan dalam bidang berkenaan.

“Alhamdulilah, Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Setiu telah menganjurkan kelas pastri dan bakeri pada Sabtu lalu di Pusat Aktiviti Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri, Setiu. Kelas ini diadakan untuk membantu ahli Puteri di kawasan ini mempelajari ilmu baharu.

“Di samping itu, kita juga ingin menggalakkan para peserta mengembangkan ekonomi mereka sendiri… mungkin dengan cara mereka menggunakan ilmu diberi dan mengadakan jualan,” katanya kepada UMNO Online.

Untuk rekod, kelas tersebut telah disertai oleh 60 orang peserta dan dirasmikan oleh Timbalan Ketua UMNO Bahagian Setiu, Bazlan Abd Rahman.

Turut hadir, Naib Ketua UMNO Bahagian Setiu, Iskandar Jaafar, Setiausaha Bahagian Setiu, Hamdan Hamzah dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Setiu, Wan Nasiah.

Diharapkan dengan penganjuran kelas seperti ini, ia akan dapat melahirkan generasi Puteri UMNO yang berkemahiran dan lebih berdikari untuk menghadapi zaman ekonomi yang semakin mencabar ini. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.