Mohd Zaidy Yakin Kekuatan Kerajaan Perpaduan Mampu Realisasikan Agenda Untuk 2025
KUALA LUMPUR, 26 Nov – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir yakin bahawa hasil daripada kekuatan Kerajaan Perpaduan iaitu kerjasama erat Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) maka setiap agenda yang dirancang dapat direalisasikan.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena perbahasan Belanjawan 2025 Negeri Sembilan dalam sidang DUN, semalam.
Dalam hal ini beliau mencadangkan agar program TVET lebih diperluas dan diperkasa secara menyeluruh untuk masyarakat di luar bandar kerana ramai anak-anak muda yang berminat namun maklumat mengenainya tidak sampai kepada sasarannya.
“Maka saya cadangkan pemerkasaan untuk hebahan dan kempen program TVET juga perlu diperluaskan dan dilaksanakan. Contonhnya para kaunselor sekolah haruslah peka dan cakna segala agenda TVET negara.
“Perdana Menteri telah mengumumkan Belanjawan TVET meningkat kepada RM7.5 bilion, ketimbang RM6.8 bilion pada tahun sebelumnya.
“Ini menunjukkan Kerajaan Madani hari ini serius melaksanakan agenda TVET Negara yang telah diberi tanggungjawab sepenuhnya kepada Pengerusi Majlis TVET Negara Malaysia iaitu Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.”
Justeru jelas beliau, amatlah rugi sekiranya tidak peka dan cakna dalam segala agenda TVET negara yang sedang dilaksana.
Mohd Zaidy juga menyokong cadangan peruntukan belanjawan bagi program Program Pembinaan Generasi Celik A.I dengan saranan agar ia dilaksanakan diperingkat sekolah di seluruh Negeri Sembilan khususnya masyarakat luar bandar terutama anak-anak orang asli dan desa.
“Ini kerana masih ada lagi anak-anak di luar bandar masih tidak mampu memiliki komputer riba apatah lagi mempunyai telefon pintar sendiri.”
Berkaitan pemerkasaan komuniti di bawah inisiatif baharu pembangunan luar bandar bagi kawasan Jeram Padang, Mohd Zaidy memohon dan mencadangkan membina jalan baharu luar bandar di antara Felcra Rompin (B) ke Felda Palong 2 bagi memudahkan penduduk tempatan.
“Justifikasinya memudahkan pelajar-pelajar dari kawasan Felcra Rompin (B) dan sekitar Rompin bersekolah di SMK Felda Palong 2 bagi memastikan SMK Palong 2 terus berfungsi kerana pada hari ini bilangan pelajarnya semakin berkurangan.
“Di samping itu juga jalan ini akan menjadi jalan pintas ke Palong dan membangunkan kawasan Felcra Rompin dan sekitar Pekan Rompin, maka dengan adanya jalan ini kegiatan ekonomi di kalangan masyarakat DUN Jeram Padang dapat dirancakkan secara menyeluruh. Mohon tindakan dan sokongan dari KKDW.”
Terdahulu beliau telah mengucapkan syabas dan tahniah kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun di atas kejayaan pembentangan Belanjawan 2025 Negeri Sembilan pada Jumaat lalu.
“Semoga segala usaha dan perancangan kerajaan negeri di dapat direalisasikan demi kesejahteraan dan kemakmuran Negeri Sembilan,” katanya lagi. – UMNO Online