UMNO Sepakat Untuk Perkukuh Hubungan Dalam Kerajaan Perpaduan
KUALA LUMPUR, 25 Nov – UMNO menerusi Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) telah bersepakat meminta supaya segala usaha untuk memperkukuh dan mempereratkan lagi hubungan di kalangan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan terus dipertingkatkan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi kenyataan media memaklumkan bahawa Kerajaan Madani yang telah genap dua tahun membuktikan keberkesannya sebagai formula perpaduan.
“Kerajaan Madani yang genap dua tahun Sabtu lalu terbukti menjadi formula ampuh berteraskan semangat perpaduan dan kepelbagaian kaum dan agama perlu terus didokong dan dipertahankan demi kesejahteraan rakyat dan keharmonian negara.
“Majlis Kerja Tertinggi juga meminta supaya semua wakil-wakil UMNO dalam Kerajaan Perpaduan sama ada yang memegang amanah parti dalam Jemaah Menteri mahupun agensi-agensi dan syarikat-syarikat kaitan kerajaan mesti terus meningkatkan prestasi kerja dengan cemerlang demi rakyat dan negara,” katanya.
Pada masa yang ahli mesyuarat bersetuju akan memulakan Sekolah Politik yang akan dibuka kepada semua rakyat Malaysia.
“UMNO akan memulakan Sekolah Politik yang akan dibuka kepada semua rakyat Malaysia bermula awal tahun hadapan memfokuskan kepada ilmu-ilmu asas kenegaraan, perlembagaan, dinamika politik demokrasi, politik khidmat dan bakti kepada rakyat,” katanya lagi.
Terdahulu mesyuarat MKT telah berlangsung di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato Onn yang dipengerusikan oleh Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. – UMNO Online