Kerajaan Perpaduan: Kecekapan UMNO Sumbang Kepada Kesejahteraan Dan Kestabilan – Haryaty

AYER KEROH, 29 Nov – Kerjasama UMNO dalam Kerajaan Perpaduan dilihat sebagai elemen penting dalam menyeimbangkan kesejahteraan dan kestabilan dalam negara ini.

Exco Wanita UMNO, Datuk Haryaty Hamdzah berkata, peranan UMNO dalam kerajaan ini membolehkan negara bersaing secara sihat selain memberi perkhidmatan terbaik pada rakyat.

Beliau memberi contoh situasi yang berlaku di UMNO Bahagian Kota Melaka bahawa terdapat pelbagai bangsa yang ada di sana namun mereka dapat bekerja bersama-sama untuk memajukan negara.

“Sebagai contoh di UMNO Bahagian Kota Melaka, populasi bangsa Cina lebih ramai berbanding dengan Melayu namun dengan adanya Kerajaan Perpaduan, semua bangsa dapat bersaing secara sihat demi memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

“Lebih penting bagaimana rakyat dapat disantuni dan mendapat fasiliti yang baik. Bagaimana rakyat mendapat kerajaan yang prihatin terhadap isu-isu yang dihadapi.

“Kecekapan UMNO/Barisan Nasional (BN) dalam kerajaan ini sangat membantu dan memastikan negara semakin stabil seperti peningkatan ekonomi, kestabilan politik, peluang pekerjaan dan sebagainya,” katanya.

Menurut beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Kota Melaka, UMNO mempunyai pengalaman yang mendalam dalam menangani pelbagai isu semasa, terutamanya yang berkaitan dengan 3R (Raja, Agama, dan Bangsa).

“Ini telah termaktub dalam Perlembagaan Malaysia terutamanya menjaga isu 3R dalam kontrak sosial dan sebagainya. Ia sering dijadikan senjata politik oleh pembangkang untuk menggugat ketenteraman rakyat, khususnya kaum Melayu. Mereka sengaja memperbesar-besarkan isu ini dengan tujuan menghasut rakyat dan menimbulkan rasa takut.

“Rakyat di kawasan-kawasan Melayu di pantai timur perlu bijak dalam membuat keputusan, kerana sentimen yang dimainkan oleh pembangkang berkaitan 3R seolah-olah cuba menakut-nakutkan mereka dengan gambaran yang tidak tepat.

“Pengundi-pengundi di negeri berkenaan harus memikirkan dengan mendalam dan tidak terpengaruh dengan propaganda yang bertujuan untuk menimbulkan ketakutan, seolah-olah kerajaan sekarang tidak menjaga kepentingan mereka,” katanya lagi.

Seterusnya kata Haryaty, rakyat di negeri pantai timur seperti Kelantan dan Terengganu seringkali terperangkap dalam sentimen ‘Umdap’, yang digunakan oleh pihak pembangkang untuk menggambarkan ketidakselesaan dalam masyarakat.

“Situasi di Melaka berbeza, terutamanya di Kota Melaka, di mana rakyat lebih melihat isu ini dari sudut yang lebih matang dan positif. Kita melihat bahawa isu-isu ini walaupun dimainkan oleh pembangkang tetapi keputusan yang telah dibuat oleh parti kerana ia memberi kesan yang positif kepada masyarakat setempat.

“Meskipun terdapat persaingan politik, UMNO akan terus berusaha untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat, tanpa mengira latar belakang politik atau ideologi.

“Kerjasama antara UMNO dan Pakatan Harapan (PH) di peringkat bahagian berjalan dengan lancar, khususnya dalam hubungan dengan parti Dap dan ini adalah contoh bagaimana UMNO boleh bersaing secara sihat demi kebaikan rakyat,” tegasnya lagi. – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit