PAU 2023: Akar Umbi Perlu Lapang Dada Dengan Kehadiran Pemimpin Parti Kerajaan Perpaduan

JOHOR BAHRU, 4 Jun – Akar umbi UMNO perlu berlapang dada dengan kehadiran wakil parti dalam Kerajaan Perpaduan khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Perhimpunan Agung UMNO 2023 pada 7 hingga 10 Jun ini, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata ini kerana langkah menjemput wakil-wakil daripada 19 parti politik dalam Kerajaan Perpaduan termasuk Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) adalah sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.

“Dalam satu gabungan sebegini, kita kena berlapang dada dalam menerima kehadiran pimpinan, sebab kita dalam angkatan untuk berada dalam perang politik yang lebih besar iaitu PRN di enam negeri,” katanya pada sidang media di Pejabat Badan Perhubungan UMNO Johor di sini hari ini.

Ahmad yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor berkata demikian ketika ditanya sama ada kehadiran presiden parti politik gabungan Kerajaan Perpaduan pada perhimpunan agung UMNO tahun ini akan menimbulkan ketidaksenangan hati akar umbi atau sebaliknya.

Selain Anwar yang juga Presiden PKR, pemimpin parti lain yang telah mengesahkan kehadiran mereka ke perhimpunan itu adalah Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Sementara itu, Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO disyorkan menumpukan isu besar seperti persediaan PRN di enam negeri, masalah yang membelenggu di Kelantan dan Terengganu serta dakwaan bahawa Pulau Pinang milik Kedah.

“Ini sekadar cadangan, saya tidak boleh arah, namun berharap perhimpunan itu dijadikan sebagai pembukaan gelanggang PRN negeri selain menonjolkan kejayaan positif negeri di bawah pimpinan Kerajaan Perpaduan seperti Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang,” katanya. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.