Institusi TVET Perlu Teruskan Peranan Lahir Tenaga Kerja Berkemahiran
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kemahiran vokasional dan teknikal merupakan kunci tenaga kerja berkualiti serta meningkatkan produktiviti dalam semua sektor ekonomi bagi menghadapi cabaran Revolusi Perindustrian 4.0 serta era pendigitalan.
“Saya sedar akan amanah saya untuk menyediakan lebih banyak peluang pendidikan TVET agar dapat menggalakkan lebih ramai penyertaan dengan tawaran pilihan pembelajaran vokasional dan teknikal yang menarik serta mempunyai prospek masa depan yang cerah.
“Kita mesti menggilap potensi dan bakat dalam kalangan belia agar menjadi lebih kreatif, inovatif dan produktif sekali gus menjana pendapatan yang mampu memangkin kehidupan mereka yang lebih bermakna. Agenda ini dekat di hati saya,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini, sempena Sambutan Hari TVET Negara 2023.
Bertemakan ‘TVET Pemangkin Pembentukan Malaysia MADANI’, Ahmad Zahid berkata pendidikan TVET akan terus diperkasa dalam usaha melahirkan generasi yang berkualiti dan kompetitif. – BERNAMA