Perbuatan Tidak Bermoral Di Starvendors Melaka, Pengajur Perlu Mohon Maaf Secara Terbuka

KUALA LUMPUR, 30 Mei – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman meluahkan kekesalan dengan kejadian tidak bermoral yang berlaku pada program Starvendors Foodstival Melaka 2023

Berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) baru-baru ini, penyebaran video yang viral di semua platform media sosial memaparkan tarian gelek jelas menunjukkan perbuatan tersebut adalah tidak wajar.

“Saya telah pon menghubungi penganjur malam tadi juga untuk minta penjelasan dan beliau telah pon memohon maaf dan memaklumkan kepada saya bahawa kejadian itu di luar pengetahuan beliau selaku CEO Starvendors.

“Namun, saya dah minta Starvendors membuat satu kenyataan dan permohonan maaf secara terbuka terutama kepada rakyat Melaka.

“Pesanan saya buat penganjur StarVendors agar lebih berhati hati dalam memilih vendors dan mengetatkan lagi aktiviti dan pemantauan berterusan harus dilakukan jika hendak membuat lagi program seperti ini di Negeri Melaka,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau yang juga Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Negeri berkata beliau menyokong segala program yang hendak dibawa ke Melaka bagi menarik pengunjung selain menambah aktiviti untuk rakyat Melaka.

Namun, ianya bukan lesen untuk langgar garis panduan yang ditetapkan kerana sensitiviti rakyat Negeri Melaka harus menjadi keutamaan.

“Ketika saya hadir ke acara penutup mewakili Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh saya pusing ke semua booth dan acara yang berlangsung namun memang tak ada aktiviti yang tidak bermoral berlaku ketika itu, jika ada saya sendiri akan tegur dan mohon untuk hentikan benda itu serta merta,” ujar beliau.

Isu ini juga turut mendapat perhatian Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh yang menyifatkan perkara tersebut sebagai suatu tindakan melampau dan murahan.

Beliau berkata penganjur sewajarnya dikenakan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada mereka.

“Pihak penganjur Starvendors di MITC perlu bertanggungjawab dengan tindakan yang melampau dan tidak menjaga sensitiviti masyarakat Melaka.

“Aktiviti murahan seperti ini tidak diperlukan dan perlu ditentang. Kami mendesak agar permohonan maaf dari pihak penganjur dan penganjur perlu diharamkan untuk mengadakan sebarang anjuran acara di dalam negeri Melaka!” ujar beliau.

Terdahulu, viral di media sosial memaparkan beberapa pempengaruh wanita menari tarian gelek di hadapan pengunjung sehingga menimbulkan reaksi kurang senang netizen. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.