Kesiapsiagaan Awal Jentera Parti Penentu Kejayaan – Jeffery

BEAUFORT, 28 Mei – UMNO/Barisan Nasional (BN) perlu dalam situasi siap siaga bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) walaupun ianya akan berlangsung dalam jangkaan kurang dari dua tahun dari sekarang

Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah Jeffery Nor Mohamed berkata, kesiapsagaan serta persediaan lebih awal akan memudahkan gerak kerja bagi menghadapi PRN tanpa menunggu di saat-saat akhir.

Katanya, persediaan itu merangkumi aturan strategi untuk menggerakkan seluruh kekuatan jentera akar umbi parti bersama parti-parti komponen BN yang lain.

“Gerak kerja jentera adalah melalui Pusat Daerah Mengundi (PDM) masing-masing terutama di kawasan-kawasan tumpuan yang mana kerusinya BN kecundang atau mempunyai kelebihan sedikit,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan taklimat Libat Urus Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah di Dewan Kemas Beaufort di sini. 

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Beaufort Datuk Awang Asli Lakat, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Jaludin Kadir, Setiausaha Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah Datuk Fadilah Sabri serta kepimpinan empat peringkat UMNO bahagian.

Menurut Jeffery seteru politik telah melipatgandakan kerja-kerja mereka dan yakin jika usaha-usaha (jentera BN dan UMNO) melebihi daripada seteru politik, maka kawasan-kawasan tumpuan akan dapat diperolehi semula kemenangan.

Katanya UMNO/BN bahagian bermula dari sekarang perlu mengenal pasti jumlah pengundi dengan pertambahan pengundi-pengundi baharu, selain mengenal pasti jumlah ahli di peringkat cawangan-cawangan UMNO dan mengesan keberadaan mereka.

“Perkara ini perlu sentiasa dikemaskini dan sudah tentu kerjasama serta sokongan ketua cawangan, ketua daerah mengundi dan pemimpin peringkat akar umbi sentiasa peka dan menjalankan kerjasama dengan jawatankuasa sekurang-kurangnya mengadakan perbincangan secara berkala,” katanya.

Selain daripada itu Jeffery yang juga Ketua UMNO Bahagian Putatan berkata Biro Penerangan dibantu oleh beberapa biro lain Komunikasi dan Strategi juga perlu berfungsi di peringkat bahagian dan cawangan bagi memberikan penjelasan.

“Bagi menangkis segala tohmahan dan fitnah yang ditaburkan oleh pihak lawan melalui media sosial seperti Facebook, TitTok dan sebagainya yang menjadi platform mereka menyerang parti dan pemimpin UMNO/BN.

“Jika kita biarkan ianya akan mewujudkan persepsi negatif kepada pemimpin dan parti kita. Justeru tugas dan tanggungjawab biro-biro ini selain menangkis segala fitnah dan tohmahan perlu diperjelaskan segala program yang telah dan akan dilaksanakan oleh parti bersama ahli di peringkat akar umbi,” jelas beliau.

Sehubungan dengan itu Jeffery menambah selain kesiapsiagaan awal jentera parti jalinan kerjasama kukuh antara pemimpin dan ahli di semua peringkat perlu diberikan keutamaan.

“Bekerja dalam sebuah pasukan kerana ianya merupakan penentu kejayaan parti untuk berhadapan dengan pihak lawan seterusnya mencapai kejayaan yang diharapkan.

“Kita meramalkan pada PRN atau PRU akan datang cabaran kita akan bertambah hebat jadi kita perlu perhebatkan persediaan dan gerakan kita bermula dari sekarang,” katanya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit