UMNO Kedah Sambut Baik Tawaran Baru, Bersifat Holistik – Shaiful Hazizy

KUALA LUMPUR, 24 Mei – Lima garis panduan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, semasa Konvensyen Perpaduan Kedah dilihat sebagai tonggak hala tuju yang bersifat holistik untuk direalisasikan bagi kepentingan rakyat di negeri berkenaan.

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata garis panduan berkenaan yang melibatkan pendekatan perniagaan agro diyakini dapat meningkatkan pendapatan para pesawah dan petani di negeri tersebut.

Menurut beliau selain itu ianya dapat menarik minat anak muda mencebur diri dalam sektor pertanian bagi meraih pendapatan tinggi setanding dengan sektor industri lain.

“Kita juga amat memandang tinggi keazaman Kerajaan Perpaduan untuk melahirkan ramai anak Kedah yang bukan sahaja hafal 30 juzuk Al-Quran, malah berkemahiran dalam bidang TVET. UMNO Kedah yakin generasi Al-Quran yang berkemahiran tinggi dapat membangunkan negeri Jelapang Padi ini dengan lebih barakah pada masa akan datang.

“UMNO Negeri Kedah juga sangat mengalu-alukan komitmen Kerajaan Perpaduan menamatkan isu bekalan air di negeri ini yang dimulakan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) pada tahun 2016. Inisiatif ini amat penting bagi meningkatkan kualiti kehidupan rakyat Kedah yang lebih baik, khususnya melibatkan infrastruktur keperluan asas.

“Teknologi Komunikasi dan Maklumat merupakan intipati terpening pada era Revolusi Perindustrian 4.0 ini. Usaha Kerajaan Perpaduan yang beriltizam meningkatkan kemudahan telekomunikasi khususnya di kawasan luar bandar dengan liputan rangkaian 5G disambut baik UMNO Kedah, bagi memastikan anak-anak Kedah tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara terutama melibatkan gig-ekonomi, pendidikan dan maklumat,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online di sini.

Shaiful seterusnya menambah UMNO Negeri Kedah juga yakin, penekakan-penekanan ini bakal meningkatkan lagi keupayaan modal insan dalam kalangan anak-anak Kedah dan membuka ruang yang lebih luas bagi mereka memacu pembangunan negeri, sekali gus mencipta lebih banyak ruang pekerjaan dan melahirkan lebih ramai usahawan berkualiti tinggi.

“Namun begitu, UMNO Negeri Kedah mengakui agak sukar segala garis panduan ini dapat direalisasikan sekiranya Kerajaan Negeri tidak mesra Kerajaan Perpaduan dan sukar menjalin kerjasama yang baik.

“Namun sekiranya perubahan tampuk Kerajaan Negeri Kedah memihak BN-PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah ke-15 nanti, diyakini segalanya dapat dilunaskan dengan baik dan berkesan, insha Allah,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit