SUA Santuni Warga Kerja Dan Pelajar MRSM Tun Ghafar Baba Serta IKM Jasin

JASIN, 19 Mei – Pengerusi MARA merangkap Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyantuni warga kerja dan pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tun Ghafar serta Institut Kemahiran MARA di sini, semalam.

Bermula pada jam 2.00 petang, Asyraf Wajdi tiba di Surau Al-Ikhwan MRSM Jasin bagi menunaikan solat Zohor secara berjemaah bersama warga pendidik dan pelajar.

Sejurus selepas itu, beliau mengadakan lawatan di sekitar bangunan akademik, asrama disamping beramah mesra bersama warga institusi tersebut.

Pada sekitar jam 3.00 petang, Asyraf Wajdi bertemu dengan seluruh warga pendidik dan kakitangan MRSM serta IKM Jasin di dewan MRSM.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya Asyraf Wajdi memaklumkan bahawa Majlis MARA pada Isnin lalu telah meluluskan peruntukan sebanyak RM2.1 Juta untuk MRSM Jasin bagi tujuan naiktaraf kemudahan dan infrastruktur.

Manakala sebanyak RM6.71 Juta telah diperuntukkan kepada IKM Jasin bagi naik tarak fasiliti, infrastruktur, ICT dan kerja-kerja selenggaraan serta baik pulih IPMA.

Dalam pada itu, beliau turut berkesempatan untuk meninjau keadaan di IKM Jasin dan teruja dengan program-program Diploma yang ditawarkan seperti teknologi automotif, teknologi kimpalan, kejuruteraan dan pendawaian elektrik.

Dalam tinjauan tersebut turut hadir mengiringi beliau ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhammad Akmal Saleh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Datuk Khaidirah Abu Zahar dan Pengarah MARA Negeri Melaka, Nurul Azmi Johari.

Beliau berharap agar MARA melalui Institusi-Institusi TVET seperti IKM, Giatmara, KKTM, UniKL dan GMI akan terus menerajui agenda TVET negara. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.