Lagu Rasmi Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan Berkumandang Di Dewan Merdeka


KUALA LUMPUR, 14 Mei – Lagu rasmi Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan bertajuk ‘Bersama Demi Malaysia’ diperdengarkan buat pertama kali pada edisi sulung konvensyen itu hari ini.

Berkumandang di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini, lirik lagu itu ditulis Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang juga Setiausaha Agung UMNO.

Lebih bermakna, lagu berdurasi kira-kira dua minit itu turut dinyanyikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kembali menjejakkan kaki di Dewan Merdeka selepas 25 tahun, bersama semua pemimpin parti politik yang membentuk Kerajaan Perpaduan serta lebih 3,500 perwakilan, sambil mengibarkan Jalur Gemilang.

Lagu yang menggambarkan inti pati aspirasi Malaysia MADANI turut mengetengahkan nilai perpaduan, keadilan dan keharmonian rakyat.

Berikut adalah lirik lagu Bersama Demi Malaysia:

Pada bumi yang kusanjung
Ada langit cerah yang kujunjung
Tanah berdaulat ini amat beruntung
Pelbagai bangsa hidup sebumbung

Demimu oh Negaraku
Malaysia MADANI

Harapanmu pasti dijulang tinggi
Adil saksama jujur telus berbakti
Makmur sejahtera kita bersama
Rukun dan damai kita bersaudara
Demi Malaysia kita bersatu

Satu Azam, Satu Jiwa, Satu Cita-Cita

– BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit