Konvensyen Kerajaan Perpaduan Bawa Aura Luar Biasa, Diskusi Agenda Rakyat Dan Negara

KUALA LUMPUR, 14 Mac – Pengerusi Wanita Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berpandangan Konvensyen Kerajaan Perpaduan yang berlangsung hari ini menerbitkan aura luar biasa.

Katanya ini kerana setelah berseteru selama berpuluh tahun namun kini atas dasar kepentingan rakyat dan negara, percanggahan politik diketepikan dalam melontarkan hala tuju baharu buah tanah air.

“Berpuluh tahun menjadi seteru politik kita berentap dalam pelbagai lapangan, kita bercanggah fahaman dan ideologi. Namun hari ini, suasananya menerbitkan aura yang luar biasa kita duduk semeja, bersama-sama melontarkan buah fikiran, menjalin kemas setiap idea, bagi menggarap hala tuju dan misi, agar seirama dan senada.

“Ini membuktikan bahawa, walaupun kita datang dari parti yang berbeza, kita sebenarnya boleh berdiskusi secara profesional, membawa agenda untuk rakyat dan negara, dalam suasana yang cukup harmoni dan sejahtera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Wanita Kerajaan Perpaduan yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia, di sini.

Dr Noraini yang juga Ketua Wanita UMNO Malaysia berkata kerjasama ini bukan suatu yang janggal kerana sejarah dunia telah membuktikan Kerajaan Perpaduan telah dibentuk di beberapa buah negara.

Jelas beliau, pembentukan kerajaan ini perlu disambut dengan hati yang terbuka kerana secara asasnya ianya bertujuan membentuk kerajaan yang stabil dan diyakini bagi memberi suntikan keyakinan kepada pelabur dalam dan luar negera.

“Pada awal tertubuhnya Kerajaan Perpaduan ini, banyak persoalan yang timbul, dan tidak kurang juga ramai yang mempertikaikannya. Hakikatnya, gabungan seperti ini bukanlah satu perkara yang baharu, bukan juga suatu perkara yang kita harus rasa pelik dan janggal.

“Sejarah dunia membuktikan, banyak negara yang pernah membentuk kerajaan seumpama Kerajaan Perpaduan. Malah, beberapa buah negara maju seperti United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (US) pernah mewujudkan “Unity Government”.

“Dampak PRU15 yang lalu, tiada parti yang mendapat mandat mentadbir Negara secara bersendirian. Atas kebijaksanaan Yang Dipertuan Agong maka terbentuklah Kerajaan Perpaduan.

“Inilah acuan kita dalam usaha untuk mengembalikan semangat Malaysia yang asal, Malaysia yang majmuk, Malaysia yang makmur,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Dr Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong turut sama menumpukan tiga fokus yang perlu diberikan perhatian terutama membabitkan peranan wanita.

“Pertamanya, memastikan kesiapsiagaan wanita mendepani cabaran ekonomi yang semakin mencabar.

“Kedua, penglibatan 30 peratus wanita dalam pembuat dasar mesti kerajaan laksanakan. Ketiga, meletakkan lebih ramai golongan wanita dalam semua sektor kerajaan dan setara dalam sektor swasta,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.